P ada alaf digital yang mendepani ombak globalisasi ini, Malaysia sudah berjaya berdiri gah sebaris dengan negara-negara maju selepas tamat penjajahan asing selama 446 tahun. Darsawarsa ini, Malaysia telah menjejakkan kaki ke satu ambang yang rancak sekali dan telah mengalami pelbagai anjakan paradigma. Kerajaan mula membuka kawasan perindustrian dalam pelbagai lapangan bagi merancakkan ekonomi negara yang pesat membangun. Situasi ini juga memungkinkan pengeluaran barang buatan Malaysia lebih berkualiti dan setaraf dengan barangan import.
B
agi menggapai visi kudsi Wawasan 2020 seperti yang diwara-warakan oleh bekas perdana menteri yang keempat, wajarlah sektor perindustrrian disokong sepenuhnya untuk dinaik taraf bagi memenuhi kehendak pasaran. Sektor makanan juga tidak dikecualikan. Oleh itu, kepentingan dalam membeli barangan buatan Malaysia perlu diuar-uarkan dan dipergiat bagi membuka mata rakyat tempatan agar mereka tidak menganaktirikan produk sendiri. Sebagai negara membangun, Malaysia sebenarnya telah banyak menghasil dan mengeluarkan pelbagai barangan serta produk sendiri, misalnya makanan tempatan seperti Nasi Lemak, Roti Canai, Char Kuey Teow yang dihasilkan oleh nusa yang berbilang kaum ini.
R
akyat Malaysia juga perlulah mengubah tabiat berbelanja. Tabiat pembaziran dan berbelanja melebihi kemampuan pendapatan dikalangan rakyat negara ini yang turut menyimbang kepada penurunan ringgit disebabkan merek mudah memperolehi kemudahan kredit. Berikutan itu, rakyat perlu mengubah tabiat berbelanja dengan mengamalkan tabiat berhemat dalam perbelanjaan seperti menabung untuk mengurangkan kesan hutang.
D
alam menghadapi cabaran globalisasi, kita perlu mengikis sikap ego yang sememangnya pun tidak menguntungkan. Demikian juga sikap prejudis memandang rendah barangan tempatan, ia perlu dibuang jauh dari sudut pemikiran kita dan sebaliknya membina semangat “Malaysia Boleh” dari serba-serbi, termasuk soal kualiti dan standard barangan sendiri.
R
akyat Malaysia seyogia mengutamakan barangan buatan nusa sendiri. Inilah antara prakarsa yang pragmatik untuk menunjukkan semangat patriotisme. Kita sepatutnya menyuburkan semangat patriotisme, bukan sebaliknya. Dengan membeli barangan buatan tempatan, rakyat Malaysia dapat juga membantu perkembangan industri setempat. Sambutan yang diberikan terhadap sesuatu barangan tempatan akan memungkinkan syarikat tersebut meluaskan pasarannya sehingga ke luar negeri. Keadaan ini akan meningkatkan kemakmuran negara dan sekali gus akan meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia juga. Sambutan yang diberikan terhadap kereta Proton, contohnya, telah memungkinkan pengeluarnya memasarkan kenderaan tersebut hingga ke Britain, Filipina, Singapura, Brunei dan negara-negara lain. Banggalah dengan barangan buatan negara sendiri.
S
ebagai intihanya, mengutamakan barangan tempatan banyak mendatangkan kepentingan kepada rakyat tempatan. Sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai jati diri dan bermaruah, mereka hendaklah mengikis sikap ego agar negara kita tidak runtuh. Rakyat Malaysia perlulah menyokong kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia demi kebaikan rakyat dan negara. Marilah kita bersama-sama berganding bahu, menggemblengkan usaha dalam menjayakan kempen ini kerana Bersatu teguh, Bercerai Roboh. Tanpa komitmen dan sokongan daripada rakyat Malaysia, sudah tentu sukar untuk mengangkat martabat produk tempatan apatah lagi untuk menembusi pasaran antarabangsa.