Destinasi percutian yang amat popular ini masih mengekalkan keaslian semulajadinya dan amat sesuai untuk anda yang ingin bercuti bersama keluarga dan lari sebentar dari kesibukan kota atau beriadah sambil menenangkan fikiran di hujung minggu.
Pangkor Island / Pulau Pangkor sebuah pulau di perairan Selat Melaka. Ia memiliki pantai-pantai yang indah dan bersih serta laut yang jernih biru-kehijauan amat sesuai bagi mereka yang mencari kedamaian. Pulau percutian yang semakin diminati para pelancong dalam dan luar negara. Pantai yang cantik dan pemandangan yang menawan jadi tarikan utama ke Pulau Pangkor. Terdapat pelbagai jenis penginapan disediakan di dua pantai perkelahan utama Pulau Pangkor iaitu Pantai Pasir Bogak dan Pantai Teluk Nipah. Pasir Bogak menawarkan bilik, hotel, apartment dan chalet manakala Teluk Nipah menawarkan beratus-ratus chalet yang bercirikan seni bina Melayu eksotik. Pakej-pakej yang ditawarkan termasuk pakej percutian (individu, pasangan, keluarga & kumpulan). Terdapat pelbagai kemudahan di pulau ini supaya percutian anda tidak terganggu. Seperti bank-bank, pejabat pos, hospital, restaurant makanan laut, internet & banyak lagi kemudahan-kemudahan yang lain. Untuk memudahkan anda bergerak kemana-mana anda boleh menaiki teksi (van merah jambu) atau menyewa kereta & motosikal.
Dari Kuala Lumpur anda boleh memandu melalui lebuhraya PLUS ke Ipoh dan seterusnya ke Lumut. Perjalanan dari KL-Lumut mengambil masa 3-4 jam kira-kira 250km, manakala Ipoh ke Lumut sejauh kira-kira 84 kilometer.
Sebaik sahaja tiba di Lumut, anda harus menaiki feri untuk tiba di Pulau Pangkor. Perjalanan menaiki feri dari Terminal Jeti Lumut ke Terminal Jeti Pangkor mengambil masa kira-kira 30-40 minit. Sebaik sahaja tiba di Jeti Pangkor, anda boleh menggunakan perkhidmatan teksi jenis van atau menyewa kenderaan seperti kereta dan motosikal.