Free Essay

Fgdhghd

In:

Submitted By padli90
Words 8683
Pages 35
CIKGUJANA IBRAHIM - ESEI-ESEI TERBAIK PELAJAR-PELAJAR
BAHASA MELAYU SPM
Wednesday, July 1, 2009
PERANAN IBU BAPA
Soalan : Peranan keluarga dalam pembangunan modal insan.

Dalam era globalisasi tanpa limitasi ini, negara Malaysia kini sedang pesat membangun dari sehari ke sehari. Persoalannya, apakah faktor yang mendorong pembangunan ini? Sebenarnya, pembangunan negara adalah sejajar dengan pembangunan modal insan kelas pertama yang berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi. Modal insan ini lahir daripada generasi muda kita yang berwawasan tinggi. Generasi yang berwawasan memiliki sikap-sikap positif seperti dinamik, proaktif, beriltizam dan berdaya saing. Tetapi apakah pula rahsia pembentukan generasi berwawasan yang mendukung pembangunan modal insan di negara ini? Dalam hal ini, keluarga memainkan peranan dan tanggungjawab yang sangat penting untuk dipikul demi merealisasikan hasrat negara untuk melahirkan lebih ramai modal insan yang cemerlang dalam pelbagai aspek.Generasi hari ini merupakan pemimpin masa hadapan. Mereka mesti menyediakan diri dengan ciri-ciri kepimpinan dan memantapkan ilmu serta kemahiran. Di sini jugalah keluarga khususnya ibu bapa memainkan peranan untuk memimpin tangan dan membantu anak mereka dalam mengharungi kehidupan dengan cara yang paling efektif sekali. Hal ini demikian kerana keluarga merupakan pihak yang paling dekat dengan anak-anak. Ibu bapa seharusnya menunjukkan teladan yang baik terhadap anak-anak kerana segala perbuatan dan tingkah laku ibu bapa pasti akan diikut oleh anak-anak mereka. ‘Di mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi’ merupakan peribahasa yang relevan dengan isu ini. Sudah menjadi lumrah hidup manusia, anak-anak sememangnya akan akan memperhatikan dan meniru gerak tari ibu bapanya. Jika sumbang gerak tari ibu bapanya maka sumbanglah juga gerak tari mereka. Justeru, ibu bapa perlu bersikap optimistik tidak kira dalam apa-apa keadaan demi memastikan anak-anak sentiasa berada di landasan yang betul dan seterusnya melahirkan anak yang sentiasa bersikap positif.Selain itu, ibu bapa turut memainkan peranan untuk mewujudkan suasana yang harmoni dalam keluarga. Hal ini demikian kerana suasana yang harmoni dapat mengelakkan anak-anak daripada terlibat dengan gejala negatif. Apabila suasana ini dapat diwujudkan ikatan silaturahim antara keluarga akan lebih utuh. Hal ini seterusnya dapat mengelakkan gangguan emosi dalam kalangan anak-anak dan seterusnya membendung anak-anak daripada tergelincir dari landasan yang benar. Setiap hari di dada akhbar kita dapat melihat bahawasanya remaja kini kebanyakannya terlibat dengan masalah sosial yang menjadi-jadi bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Justeru, ibu bapa dan keluarga harus membimbing dan memantau anak-anak supaya tidak terjebak ke dalam sesawang negatif dan menghancurkan usaha untuk membina modal insan.Peribahasa Melayu ada mengatakan, ‘kepapaan menajamkan akal manusia, kekayaan menumpulkan akal manusia’. Peribahasa ini memberi maksud yang sangat jelas bahawa ibu bapa tidak harus melimpahkan kemewahan terhadap anak-anak kerana kemewahan dan kekayaan akan menyebabkan anak-anak lalai dalam menjalani kehidupan. Sebaliknya anak-anak lebih suka berfoya-foya dan mengabaikan tanggungjawab utama mereka iaitu menuntut dan menimba ilmu. Sememangnya, ibu bapa harus bijak menguruskan kewangan anak-anak mereka dan mendidik mereka bagi mengelakkan mereka tergolong dalam golongan yang lalai dan rugi.Di samping itu, ibu bapa harus mengikuti perkembangan pembelajaran anak-anak dan sentiasa memberi sokongan kepada mereka. Dalam hidup ini, setiap manusia yang memperoleh kejayaan pasti pernah menemui kegagalan pada suatu ketika dahulu. Dalam hal ini, jika anak-anak gagal dalam sesuatu perkara misalnya peperiksaan, ibu bapa tidak seharusnya menghukum mereka sebaliknya memberi dorongan dan menasihati mereka. ‘Pengalaman ialah ibu segala kejayaan’ merupakan peribahasa Jepun yang sangat sesuai dengan isu ini. Sebaik-baiknya kegagalan yang pernah dihadapi itu dijadikan pengalaman dan sejarah yang tidak boleh diulang kembali. Jelaslah di sini bahawa, dorongan dan sokongan ibu bapa dapat mendidik anak-anak untuk mengawal emosi mereka dan seterusnya membentuk modal insan yang cemerlang dari aspek emosinya.Seterusnya, didikan agama merupakan aspek yang paling penting bagi membentuk generasi yang bersih dari segi rohani dan jasmani. Dalam hal ini juga ibu bapa ialah pihak yang bertanggungjawab untuk menerapkan nilai-nilai agama dalam diri anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana dengan pengetahuan agama yang menebal dalam diri, anak-anak dapat membezakan perkara yang benar dan batil. Anak-anak juga lebih terdorong untuk melakukan kebaikan dan secara tidak langsung dapat menyuntik semangat mereka untuk berusaha dengan gigih demi mencapai matlamat. Perkara ini juga dapat membina disiplin diri anak-anak dan melicinkan usaha untuk menambah bilangan modal insan dalam negara kita.Natijahnya, ibu bapa dan keluarga memainkan peranan yang begitu penting dalam pembentukan modal insan dalam kalangan anak-anak mereka. Bahawasanya, gabungan nilai-nilai murni, ilmu pengetahuan dan kemahiran serta disiplin diri yang tinggi boleh melahirkan generasi berwawasan yang menjadi akar kepada pembangunan modal insan kelas pertama yang cemerlang dari aspek fizikal, mental dan emosi. Dalam hal ini, ruyung perlulah dipecahkan untuk menikmati sagunya. Oleh itu, ibu bapa tidak boleh berputus asa berusaha untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna dalam masyarakat, bangsa dan agama serta membatu merealisasikan satu agenda penting negara iaitu melahirkan generasi berwawasan yang menjadi penggerak kemajuan negara.

Peranan Ibu Bapa
1. Peranan Ibu bapa Mendidik Anak-anak

Pernyataan ‘keluarga bahagia tunjang kemakmuran negara’ jelas menunjukkan bahawa keluarga memang memainkan peranan yang penting dalam membentuk keperibadian mulia kanak-kanak. Remaja kini sering melibatkan diri dalam masalah sosial yang telah mencetuskan isu polemik dalam kalangan media massa yang saban hari meniti dari bibir ke bibir. Siapakah yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Sudah tentu, sesuatu perkara berlaku tentu ada sebab-sebab yang mendorongnya kerana pepohon pokok tidak akan berliuk-lintuk jika tidak ditiup angin. Pembentukan keperibadian mulia anak-anak bermula daripada institusi keluarga. Sesebuah keluarga dibentuk dengan peranan ibu bapa masing-masing.

Ibu bapa seharusnya mementingkan zuriat mereka sendiri daripada kerjaya. Malangnya, kebanyakan ibu bapa kini yang terlalu mementingkan kerjaya sehingga menyebabkan anak-anak mereka di rumah berasa tersisih seperti anak kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa haruslah mengimbangkan kerjaya dan kehidupan seharian mereka agar anak-anak dapat mendapat didikan yang baik dari segi fizikal dan mental. Ibu bapa sewajarnya tahu bahawa mujtamak yang kaya dalam kebendaan tetapi muflis dari segi keperibadian akan secara tidak langsung mendampakkan kesan negatif terhadap anak-anak mereka. Oleh itu, keluarga terutamanya ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk membentuk keperibadian anak-anak.

Selain itu, ibu bapa haruslah memberi didikan dan asuhan yang baik sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak tentunya dapat mengimplimentasikan nilai-nilai murni dan sikap positif ini dalam kehidupan seharian, seterusnya membentuk sanubari yang baik. Ibu bapa merupakan uswah hasanah kepada anak-anak di rumah, oleh hal yang demikian, mereka mestilah sentiasa bersikap penyayang dan berbudi pekerti mulia dan jangan sesekali menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus, sedangkan diri sendiri berjalan mengiring. Sudah terang lagi bersuluh bahawa jati diri anak-anak dapat dibentuk melalui institusi keluarga khususnya ibu bapa yang memainkan peranan yang penting.

Di samping itu, anak-anak yang berfikiran suci akan sentiasa mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana bapa borek, anak rintik. Ibu bapa merupakan tempat luahan isi hati dan penyimpan rahsia yang paling dipercayai anak-anak. Lantaran itu, ibu bapa sewajarnya mengindoktrinasikan pucuk-pucuk hijau dengan nilai-nilai murni ini bagai menatang minyak yang penuh kerana anak-anak remaja kini sering melibatkan diri dalam kebejatan sosial dan budaya hedonisme yang begitu cepat merebak bagai virus epidemik. Melalui nasihat dan ajaran yang baik, sudah tentu anak-anak akan tahu cara-cara untukmembezakan antara intan dengan kaca kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi. Institusi keluarga memang merupakan salah satu langkah yang signifikan dalam membentuk keperibadian anak-anak. Dalam nada yang berbeza, keluarga yang marem dan sakinah turut merupakan tempat yang paling baik agar proses pengajaran dan pembelajaran dilakukan dalam kalangan anak-anak. Sikap-sikap yang positif haruslah disemai dalam jiwa anak masing-masing bentuk menjamin kesejahteraan hidup dan pembentukan keperibadian mulia mereka. Anak-anak yang berusia setahun jagung, berdarah setampuk pinang ini mesti diberi penekanan dari segi mental dan fizikal supaya kelak dapat menjadi tunggak negara.

Intihanya, keluarga merupakan mercu tanda kemakmuran negara dan menggalas tanggungjawab yang berat untuk mendidik anak-anak. Ibu bapa mestilah menjalankan obligasi masing-masing dengan tidak melepaskan batuk di tangga. Jikalau anak-anak kini berjaya membentuk keperibadian yang mulia, sudah tentu anak remaja yang merupakan pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara ini dapat menjadi pemimpin yang berkaliber kelak. Impian mantan Perdana Menteri kita iaitu Pak Lah untuk membentuk sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat dimakbulkan, sekali gusmenjadikan negara Malaysia berdiri gah di persada dunia.

2. Peranan Ibu Bapa dalam Mengatasi Masalah Sosial

Remaja,
Ingatlah masa depanmu,
Kenanglah,
Jasa ibu dan ayahmu,
Susah payah mereka membesarkan kita.

Lirik lagu di atas cukup jelas memanifestasikan satu mesej kepada para remaja supaya sentiasa menghargai ibu dan bapa mereka. Umum mengetahui, para remaja marcapada ini terlalu lalai dan leka dibuai arus modenisasi. Penglibatan mereka dalam delinkuen social sudah menjadi buah mulut dan mauduk utama perbualan orang mutakhir ini. Jadi, ibu bapa dilihat sebagai satu komponen paling utama malah turut dianggap formula yang cukup mujarab bagi mengatasi masalah dalam kalangan remaja.

Pertama, ibu bapa perlu menghulurkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja merupakan golongan yang sangat menginginkan perhatian. Naluri mereka yang mudah memberontak sudah pasti dapat ditenangkan menerusi perasaan cinta ibu bapa terhadap anak-anak. Api kemarahan dan benteng keegoan yang menebal di dada mereka pasti mudah diruntuhkan dengan kasih sayang ibarat menatang minyak yang penuh kepada anak-anak. Andai kata remaja ketandusan kasih sayang, sudah pasti mereka akan mecari haluan lain untuk melepaskan diri dari kepompong ketidakselesaan. Natijahnya, mereka akan mula berjinak-jinak dengan najis dadah dan tidak mustahil akan terjerumus dalam kancah kemaksiatan. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kadar remaja lari dari rumah kian meningkat sebanyak 5.7 peratus dari tahun 2007 ke 2008. Jadi, sebelum nasi sudah menjadi bubur, ibu bapa perlu mengutamakan anak-anak mereka berbanding hal-hal lain.

Selain itu, ibu bapa juga perlu meluangkan masa bersama anak-anak. Hal ini cukup bertepatan dengan langkah Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat yang telah mengisytiharkan cuti pada hari Sabtu dan Ahad kepada semua pegawai kerajaan. Perkara ini cukup membuktikan keprihatinan kerajaan Malaysia dalam menyediakan ruang dan peluang kepada ibu bapa untuk bersama anak-anak. Percayalah, anak-anak akan berasa lebih dihargai apabila ibu bapa menghabiskan masa berkualiti bersama mereka. Tamsilannya, ibu bapa boleh membawa anak-anak melancong, beriadah bersama-sama malahan menjalankan aktiviti kerohanian secara berjemaah. Melihat kepada senario masyarakat kontemporari, ibu bapa lebih cenderung untuk mengejar materialistik dan menjadikan pejabat sebagai rumah kedua mereka. Sikap ibarat enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing ini perlu dikikis segera bagi memastikan para remaja tidak terlibat dalam gejala sosial. Maka, jelaslah anak-anak remaja perlu dijadikan prioriti utama dalam usaha membendung kemelut ini.

Di samping itu, ibu bapa perlu menyediakan pendidikan yang secukupnya kepada anak-anak. Pendidikan ini merangkumi pendidikan formal mahupun pendidikan tidak formal. Tindakan kerajaan Malaysia mewajibkan keseluruhan kanak-kanak di negara ini mendapat pendidikan di sekolah amatlah wajar dan perlu disokong. Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mereka memperoleh pendidikan sewajarnya, selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sementelahan itu, ibu bapa juga perlu menerapkan pendidikan berbentuk tidak formal kepada anak-anak. Pengajaran ilmu-ilmu agama dan nilai-nilai murni selaras dengan norma masyarakat pada hari ini amat penting bagi memastikan kerohanian yang mantap dalam diri anak-anak. Ingatlah, “segala-galanya bermula di rumah”. Begitulah ungkapan kalimah tokoh filsuf terkenal, Franklin D. Roosevelt. Maka, ibu bapalah yang bertindak sebagai agen pencorak utama karakter anak-anak agar mereka tidak mencetuskan cangkaliwang pada hari muka. Justeru, penerapan pendidikan yang sempurna pasti dapat menangani masalah ini.
Seterusnya, ibu bapa perlu mengawasi perilaku anak-anak. Peribahasa Melayu ada menyebut,” kalau tiada angin masakan pokok akan bergoyang”. Setiap perbuatan yang dilakukan oleh anak-anak pasti ada penyebabnya. Sehubungan dengan itu, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk sentiasa mengikuti perkembangan diri anak-anak remaja mereka. Pergaulan bebas anatara lelaki dan perempuan sudah sinonim dengan masyarakat. Seluar ketat, baju singkat hingga menampakkan pusat ibarat suatu adat. Maka, di sinilah ibu bapa perlu memainkan peranannya iaitu meninjau perubahan sikap anak-anak mereka. Serbuan pihak polis di kota metropolitan Kuala Lumpur iaitu di kelab-kelab malam di sana mendapati hampir 15 peratus anak-anak remaja di bawah umur ditahan positif dadah. Perkara ini jelas menunjukkan andai ibu bapa membiarkan anak-anak mereka tanpa tempat bergantung, mereka akan mudah terlibat dalam kebejatan sosial pada masa ini. Maka, ibu bapa perlu bertindak proaktif dan pragmatik dalam usaha membasmi gejala sosial dalam kalangan anak-anak remaja.

Akhir sekali, ibu bapa perlu melengkapkan keperluan asas anak-anak. Sekali air bah, sekali pantai berubah. Begitu juga dengan perkembangan dunia yang kian ekstrem menjengah kita. Oleh itu, dalam kita mengharung arus modenisasi, sudah tentu anak remaja tidak mahu dihimpit dengan ketidakselesaan dan pemikiran yang jumud. Maka, sebagai ibu bapa, mereka perlu menyediakan keperluan asas anak-anak bagi menjamin keselesaan. Tempat tinggal yang kondusif, pakaian yang bersesuaian serta makanan dan minuman yang berkhasiat perlu disediakan. Hal ini amat penting bagi memastikan anak-anak berasa seronok berada di rumah lantas tidak terlibat dalam gejala sosial. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh sekumpulan mahasiswa Fakulti Sains Kemasyarakatan, Universiti Malaya, anak-anak remaja daripada golongan miskin lebih cenderung untuk terlibat dalam penagihan najis dadah. Hal ini pastinya akan dapat dibendung andai segala keperluan asas remaja dilengkapkan walaupun ibu bapa tidak melambakkan kemewahan kepada mereka.

Intihanya, ibu bapa perlu memantapkan kemahiran keibubapaan mereka lagi dalam mendidik anak-anak. Contohilah ketokohan Luqmanul Hakim yang cukup hebat mendidik anak-anaknya berorientasikan Al-quran dan al-Hadis. Kita tidak mahu remaja-remaja yang bobrok dan kaya dengan pidana dihasilkan. Sebaliknya, kita inginkan barisan remaja yang berkaliber, cukup syumul dan utopia hasil didikan kedua-dua ibu bapa mereka. Marilah kita berubah, “sebelum padi di tangan menjadi lalang” dan “ayam ditambat disambar helang”, ayuhlah ibu bapa, berkorbanlah demi masa depan anak-anak tercinta.
Berkorban apa sahaja,
Harta ataupun nyawa,
Itulah kasih mesra,
Sejati dan mulia.
Ingatlah, ibu bapa cemerlang, anak-anak gemilang!

Karangan peranan ibu bapa 2
Soalan 3: Peranan Ibu Bapa Dalam Mengatasi Masalah Remaja
Remaja,
Ingatlah masa depanmu,
Kenanglah,
Jasa ibu dan ayahmu,
Susah payah mereka membesarkan kita.
Cebisan puisi di atas cukup jelas memanifestasikan satu mesej kepada para remaja supaya sentiasa menghargai ibu dan bapa mereka. Umum mengetahui, para remaja marcapada ini terlalu lalai dan leka dibuai arus modenisasi. Penglibatan mereka dalam delinkuen social sudah menjadi buah mulut dan mauduk utama perbualan orang mutakhir ini. Justeru, ibu bapa dilihat sebagai satu komponen paling utama malah turut dianggap formula yang cukup mujarab bagi mengatasi masalah dalam kalangan remaja.
Pertama, ibu bapa perlu menghulurkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana remaja merupakan golongan yang sangat menginginkan perhatian. Naluri mereka yang mudah memberontak sudah pasti dapat ditenangkan menerusi perasaan cinta ibu bapa terhadap anak-anak. Api kemarahan dan banteng keegoan yang menebal di dada mereka pasti mudah diruntuhkan dengan kasih sayang ibarat menatang minyak yang penuh kepada anak-anak. Andai kata remaja ketandusan kasih sayang, sudah pasti mereka akan mecari haluan lain untuk melepaskan diri dari kepompong ketidakselesaan. Natijahnya, mereka akan mula berjinak-jinak dengan najis dadah dan tidak mustahil akan terjerumus dalam kancah kemaksiatan. Berdasarkan statistic yang dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kadar remaja lari dari rumah kian meningkat sebanyak 5.7 peratus dari tahun 2007 ke 2008. Justeru, sebelum nasi sudah menjadi bubur, ibu bapa perlu mengutamakan anak-anak mereka berbanding hal-hal lain.
Selain itu, ibu bapa juga perlu meluangkan masa bersama anak-anak. Hal ini cukup bertepatan dengan langkah Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat yang telah mengisytiharkan cuti pada hari Sabtu dan Ahad kepada semua pegawai kerajaan. Perkara ini cukup membuktikan keprihatinan kerajaan Malaysia dalam menyediakan ruang dan peluang kepada ibu bapa untuk bersama anak-anak. Percayalah, anak-anak akan berasa lebih dihargai apabila ibu bapa menghabiskan masa berkualiti bersama mereka. Tamsilannya, ibu bapa boleh membawa anak-anak melancong, beriadah bersama-sama malahan menjalankan aktiviti kerohanian secara berjemaah. Melihat kepada scenario masyarakat kontemporari, ibu bapa lebih cenderung untuk mengejar materialistic dan menjadikan pejabat sebagai rumah kedua mereka. Sikap “ibarat enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing” ini perlu dikikis segera bagi memastikan para remaja tidak terlibat dalam gejala social. Maka, jelaslah anak-anak remaja perlu dijadikan priority utama dalam usaha membendung kemelut ini.
Di samping itu, ibu bapa perlu menyediakan pendidikan yang secukupnya kepada anak-anak. Pendidikan ini merangkumi pendidikan formal mahupun pendidikan tidak formal. Tindakan kerajaan Malaysia mewajibkan keseluruhan kanak-kanak di negara ini mendapat pendidikan di sekolah amatlah wajar dan perlu disokong. Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mereka memperoleh pendidikan sewajarnya, selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sementelahan itu, ibu bapa juga perlu menerapkan pendidikan berbentuk tidak formal kepada anak-anak.
Pengajaran ilmu-ilmu agama dan nilai-nilai murni selaras dengan norma masyarakat pada hari ini amat penting bagi memastikan kerohanian yang mantap dalam diri anak-anak. Ingatlah, “segala-galanya bermula di rumah”. Begitulah ungkapan kalimah tokoh filsuf terkenal, Franklin D. Roosevelt. Maka, ibu bapalah yang bertindak sebagai agen pencorak utama karakter anak-anak agar mereka tidak mencetuskan cangkaliwang pada hari muka. Justeru, penerapan pendidikan yang sempurna pasti dapat menangani masalah ini.
Seterusnya, ibu bapa perlu mengawasi perilaku anak-anak. Peribahasa Melayu ada menyebut,” kalau tiada angin masakan pokok akan bergoyang”. Setiap perbuatan yang dilakukan oleh anak-anak pasti ada penyebabnya. Sehubungan dengan itu, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk sentiasa mengikuti perkembangan diri anak-anak remaja mereka. Pergaulan bebas anatara lelaki dan perempuan sudah sinonim dengan masyarakat. Seluar ketat, baju singkat hingga menampakkan pusat ibarat suatu adat. Maka, di sinilah ibu bapa perlu memainkan peranannya iaitu meninjau perubahan sikap anak-anak mereka. Serbuan pihak polis di kota metropolitan Kuala Lumpur iaitu di kelab-kelab malam di sana mendapati hampir 15 peratus anak-anak remaja di bawah umur ditahan positif dadah. Perkara ini jelas menunjukkan andai ibu bapa membiarkan anak-anak mereka tanpa tempat bergantung, mereka akan mudah terlibat dalam kebejatan sosial pada masa ini. Maka, ibu bapa perlu bertindak proaktif dan pragmatic dalam usaha membasmi gejala sosial dalam kalangan anak-anak remaja.
Akhir sekali, ibu bapa perlu melengkapkan keperluan asas anak-anak. Sekali air bah, sekali pantai berubah. Begitu juga dengan perkembangan dunia yang kian ekstrem menjengah kita. Justeru, dalam kita mengharung arus pascamodenisme, sudah tentu anak remaja tidak mahu dihimpit dengan ketidakselesaan dan pemikiran yang jumud. Maka, sebagai ibu bapa, mereka perlu menyediakan keperluan asas anak-anak bagi menjamin keselesaan. Tempat tinggal yang kondusif, pakaian yang bersesuaian serta makanan dan minuman yang berkhasiat perlu disediakan. Hal ini amat penting bagi memastikan anak-anak berasa seronok berada di rumah lantas tidak terlibat dalam gejala sosial. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh sekumpulan mahasiswa Fakulti Sains Kemasyarakatan, Universiti Malaya, anak-anak remaja daripada golongan miskin lebih cenderung untuk terlibat dalam penagihan najis dadah. Hal ini pastinya akan dapat dibendung andai segala keperluan asas remaja dilengkapkan walaupun ibu bapa tidak melambakkan kemewahan kepada mereka.
Intihanya, ibu bapa perlu memantapkan kemahiran keibubapaan mereka lagi dalam mendidik anak-anak. Contohilah ketokohan Luqmanul Hakim yang cukup hebat mendidik anak-anaknya berorientasikan Al-quran dan al-Hadis. Kita tidak mahu remaja-remaja yang bobrok dan kaya dengan pidana dihasilkan. Sebaliknya, kita inginkan barisan remaja yang berkaliber, cukup syumul dan utopia hasil didikan kedua-dua ibu bapa mereka. Marilah kita berubah, “sebelum padi di tangan menjadi lalang” dan “ayam ditambat disambar helang”, ayuhlah ibu bapa, berkorbanlah demi masa depan anak-anak tercinta.

Soalan 4 : Obesiti Kanak-kanak: Dimanakah Peranan Ibu Bapa?
Norkumala bt. Awang
Kanak-kanak montel, mungkin dianggap comel tetapi pernahkah kita terfikir jika kemontelan itu berterusan sehingga dewasa? Di tambah lagi, penyakit tidak berjangkit pada masa kini tidak mengenal usia dan jantina. Bahkan ia terus bermaharajalela dalam masyarakat kita. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa masyarakat kita sekarang sedang membentuk dan menyediakan generasi yang gemuk dan berpenyakit pada masa akan datang.

Kanak-kanak obes kini sudah tidak asing lagi dalam masyarakat kita tetapi senario ini tidak dipandang sebagai satu masalah kesihatan awam. Bahkan ia menjadi sesuatu yang normal pada pandangan masyarakat. Hakikatnya, masyarakat kita telah pun menyedari tentang peri penting menjaga kesihatan tetapi kadangkala sikap dan tabiat gaya hidup yang tidak sihat diamalkan secara tradisi menjadi ikutan. Lantas, ia menjadi satu kelaziman dan akhirnya pelbagai masalah yang menyusup masuk dalam kehidupan mengundang bala yang tidak disedari. Lihat saja, berapa ramai antara kita yang sihat, tiba-tiba meninggal dunia akibat penyakit pembunuh secara senyap? Berapa ramai pula sekarang anak-anak telah pun mengidap penyakit diabetes sejak kecil dan paling malang lagi di bangku sekolah telah mengambil suntikan insulin sebagai rawatan diabetes? Siapakah yang harus ditunding jari ?

Secara asasnya, pendidikan pemakanan dibentuk oleh kedua ibu bapa, keluarga atau orang yang menjaga anak-anak sejak dari kecil. Segala aspek bermula daripada pemilihan makanan, tabiat, cara makan dan jenis makanan adalah dicedok daripada apa yang diberikan, dibentuk dan ditunjukkan oleh ibu bapa. Kemudian barulah faktor-faktor luaran yang memainkan peranan dalam membentuk tabiat pemakanan anak-anak. Jika di sekolah, mereka mungkin terpengaruh dengan kawan-kawan dan juga persekitaran yang mereka lalui. Tetapi di rumah, ahli keluarga dan persekitaran rumah adalah penting dalam mencorak pola pemakanan anak-anak.

Setiap ibu bapa mahu melihat anak-anak mereka membesar dengan sihat dan kuat. Justeru itu, sudah pastilah anak-anak disediakan dengan makanan yang berkhasiat. Pada umur awal tumbesaran, masalah pemakanan menjadi agenda utama dalam perkembangan mereka. Ini kerana sesetengah kanak-kanak mungkin menjadi kurang berselera dan ada yang mempunyai selera yang berlebihan terhadap sesuatu makanan. Ia adalah lumrah dalam perkembangan awal kanak-kanak. Mungkin disebabkan faktor ini, ibubapa memanjakan anak-anak dengan memberi segala jenis makanan dengan harapan agar mereka mendapat semua khasiat yang diperlukan. Akhirnya mereka gagal untuk mengawal pemakanan malah anak-anak cenderung untuk mengambil makanan secara berlebihan. Tidak mustahil, makanan tersebut juga tidak berkhasiat dan tidak sesuai untuk mereka akhirnya akan menyumbang kepada masalah obesiti.

Walaupun faktor genetik atau keturunan tidak dapat dinafikan menyumbang kepada masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak namun punca luaran atau persekitaran tidak boleh dipandang sepi. Kanak-kanak cenderung menjadi obes apabila ibu bapa mereka juga obes. Walaupun berlaku ketidakseimbangan genetik menyebabkan individu makan secara berlebihan namun faktor ini tidak dapat diuruskan dalam kita menangani obesiti kanak-kanak. Namun, kita boleh melihat corak pemakanan anak-anak juga dicontohi daripada ibu bapa. Ibu bapa yang tidak mempunyai amalan pemakanan yang sihat boleh menyebabkan anak-anak mengikut acuan tersebut.

Dalam pada masa yang sama, kita tidak boleh menyalahkan lambakan satu-satu makanan yang menyebabkan anak-anak kecil menjadi obes. Budaya semasa masyarakat yang gemarkan makanan berkalori tinggi contohnya nasi lemak, roti canai, teh tarik dan makanan segera yang lain juga menyumbang kepada masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak. Corak pemakanan sebegini memberi contoh kepada anak-anak. Namun begitu, ia tidak menjadi satu-satunya punca kepada permasalahan ini berlaku. Oleh itu, amatlah tidak wajar jika trend ini dipersalahkan sedangkan pokok pangkal penyebabnya tidak diperbetulkan. Contohnya, jika makanan seperti nasi lemak mudah didapati tetapi pengambilannya tidak dikawal, maka ia juga boleh menyumbang kepada masalah obesiti disebabkan kekerapan pegambilannya. Pokok pangkalnya adalah pendidikan daripada ibu bapa yang menentukan corak pemakanan mereka.

Dalam hal sebegini, kesibukan ibu bapa menyebabkan pemilihan makanan yang berkhasiat agak terhad. Ibu bapa yang sibuk cenderung memilih makanan segera sebagai hidangan untuk keluarga disebabkan kekangan masa. Akhirnya ia menjadi satu budaya dalam sesebuah keluarga. Begitu juga dengan pengaruh persekitaran seperti rakan sebaya dan media massa memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada permasalahan obesiti kanak-kanak.

Jika di sekolah, anak-anak di luar pengaruh dan kawalan ibu bapa, maka rakan sebaya dan persekitaran menjadi contoh utama mereka dalam memilih sesuatu makanan. Di sekolah, pemilihan makanan yang berkhasiat juga terhad malah kebanyakan makanan yang disediakan tidak cukup seimbang, berkalori tinggi, tinggi gula, garam dan juga kolesterol. Kewujudan dan kemudahdapatan snek dan minuman manis seperti "vendor machine" di sekolah juga menyebabkan anak-anak cenderung untuk mengambil gula secara berlebihan. Apatah lagi, jika pembekal makanan di sekolah lebih suka menjual makanan rapu atau "junk food" yang menjadi kesukaan kanak-kanak.

Seharusnya pihak tersebut tidak mementingkan keuntungan semata-mata dengan menjual makanan yang tidak berkhasiat. Hal ini demikian kerana makanan ringan akan menyumbang lebih banyak kalori malah menyebabkan pengguna menjadi cenderung untuk mengambilnya lebih banyak dan mengehadkan pengambilan makanan berkhasiat lain. Senario ini kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak, dan mereka lebih cenderung untuk menghabiskan wang belanja harian semata-mata untuk membeli makanan ringan berbanding makanan berkhasiat yang lain seperti hidangan nasi dan sebagainya. Pengambilan kalori yang tinggi, gula dan garam berlebihan akan menyumbang kepada masalah obesiti kanak-kanak. Seharusnya, permasalahan sebegini diberi perhatian serius oleh ibu bapa, pihak sekolah dan juga pembekal makanan di sekolah. Kawalan dan pemantauan terhadap bekalan makanan ringan dan minuman yang tidak baik untuk kesihatan harus dipertingkatkan malah makanan yang tidak berkhasiat ini perlu dihadkan atau diberhentikan penjualannya.

Kanak-kanak yang obes akan cenderung menjadi obes apabila dewasa kelak ataupun mengalami berat badan berlebihan sepanjang hayat mereka jika tidak dirawat dan dipantau. Di samping pelan pemakanan yang sihat, anak-anak juga perlu diterapkan latihan fizikal yang mantap. Bukan sekadar menghabiskan masa terluang di hadapan televisyen dan komputer. Ibu bapa yang memiliki anak-anak obes perlu tahu bahawa mengurangkan berat badan dan mengekalkan berat badan unggul adalah satu perkara yang sukar. Justeru, ia memerlukan kefahaman yang mantap tentang permasalahan ini dan menekankan tabiat pemakanan yang sihat. Bukan setakat diterapkan kepada anak-anak malah perlu dilakukan bermula daripada diri sendiri. Barulah ia mempunyai sinergi yang cukup kuat dalam menyediakan kanak-kanak yang sihat dan generasi tidak obes pada masa akan datang.

Kesimpulannya, kita perlu mengamalkan sikap mencegah lebih baik daripada mengubat. Kita perlu mencegah penyakit yang bakal timbul akibat keobesan generasi masa kini dengan menerapkan amalan pemakanan sihat dan berbudaya hidup sihat. Semuanya bermula daripada ibu bapa sebagai pasak utama dalam pendidikan pemakanan anak-anak. Sejajar dengan saranan dalam surah Isra' ayat 7 yang bermaksud "Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga...". Jika kita tidak berkorban untuk anak-anak pada hari ini bermakna kita menyediakan generasi yang tidak sihat pada masa akan datang. Ayuh, perkasakan peranan ibu bapa dengan menilai pelan pemakanan sihat anak-anak pada hari ini.

Karangan peranan ibu bapa 3
Soalan 5: Faktor-Faktor Lepak dan hubungan Keibubapaan di kalangan Pelajar Remaja

Masalah sosial memberikan gambaran umum mengenai pelbagai gejala yang tidak baik berlaku di seluruh dunia dengan memberikan penumpuan kepada beberapa gejala sosial yang berlaku di Malaysia. Masalah sosial dan psikologikal di kalangan remaja telah banyak menarik perhatian ramai orang. Masalah sosial bersifat subjektif dan boleh berubah mengikut keadaan, tempat dan masa. Laporan yang disiarkan di dada akhbar, majalah dan media massa telah membuktikan kepada umum bahawa gejala tidak sihat telah melanda kaum remaja di Malaysia.
Kegiatan melepak merupakan suatu masalah sosial yang dipandang serius oleh masyarakat Malaysia. Ia telah menjadi tema perbincangan forum, seminar, bengkel dan ceramah mengenai remaja. Gejala membuang masa dengan melepak pastinya merupakan suatu penyakit di dalam masyarakat. Kegiatan ini bukan sahaja dilakukan oleh remaja lelaki tetapi juga remaja perempuan. Tingkah laku ini dilakukan oleh golongan remaja yang menjadi golongan terbesar penduduk negara.
Golongan remaja yang dianggap oleh Hall (1904) sebagai kumpulan individu yang sedang berada di dalam zaman yang penuh dengan keributan dan tekanan perasaan.
Kedudukannya di dalam tahap yang sedang memikirkan tujuan kehidupan. Menurut
Harre dan Lamb (1983) remaja mula melakukan penyesuaian diri yang lebih kompleks dengan keluarga, teman sebaya dan guru, melalui aktiviti seharian dan kehidupan sosial sesuai dengan perasaannya.
Corak didikan ibu bapa adalah aspek utama yang memberi kesan mendalam terhadap perkembangan fizikal, mental dan sosial seseorang individu. Secara tidak langsung ia membentuk personaliti seseorang individu. Ini bermakna ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang besar dalam mendidik anak-anak.
Ibu bapa perlu melengkapkan diri dalam bidang keibubapaan untuk membentuk diri dan jiwa anakanak ke arah kebaikan. Tingkah laku ibu bapa akan dapat mempengaruhi jiwa anakanak.
Robiah et.al (2001) berpendapat kepercayaan agama adalah tenaga paling unggul bagi menentang semua unsur negatif yang menyerang emosi dan mental. Pegangan prinsip dan pendirian yang kukuh berlandaskan ajaran agama dapat mencegah remaja daripada dipengaruhi oleh unsur-unsur pergaulan bebas yang melampaui batasan.
Sarina Othman (1995) mengatakan pendidikan agama yang disemai sejak zaman kanak-kanak dapat membentuk remaja yang mempunyai nilai-nilai murni dalam jiwa serta dapat menolak unsur-unsur yang bertentangan dengan ajaran agama.
Anak-anak remaja khasnya pelajar yang terlibat dengan masalah disiplin di sekolah akan mengakibatkan penurunan prestasi dalam pelajaran. Sememangnya secara logik dapat dilihat perkaitan yang ketara antara disiplin dengan pencapaian akademik. Sebagaimana kajian Othman (dalam Oskasmazila, 2000) yang dijalankan kepada 723 sampel dari sepuluh buah sekolah di daerah Johor Bahru. Dapatan beliau menunjukkan bahawa suasana keluarga murid-murid tidak mempunyai kesan langsung yang signifikan terhadap tingkah laku akademik mereka.
Walaupun remaja sedang menuju ke arah berdikari, mereka memerlukan ibu bapa yang dapat memberi sokongan kepada mereka. Menurut Small (1990) menyatakan remaja inginkan ibu bapa yang menghormati mereka, memberi kasih sayang, mempunyai minat yang sama, mengakui dan menerima perkembangan kognitif dan sosioekonomi mereka.
Keibubapaan yang merupakan corak asuhan dan peranan ibu bapa pasti berfungsi dalam menunjukkan arah, membimbing, mendidik dan menggerakkan individu yang berada dalam institusi tersebut.
Ibu bapa mempunyai tanggungjawab memberi didikan agama kepada anak-anak.
Kewajipan ini mesti dilaksanakan dengan contoh dan amalan seharian. Solat berjemaah adalah cara yang terbaik mengumpulkan semua ahli keluarga.
Perbincangan, teguran dan ajaran boleh dilakukan selepas solat. Hukum-hakam dan peraturan agama mengenai hidup perlu diajar kepada anak sebelum mereka mencapai baligh, khususnya perkara-perkara yang seksualiti.
Kesimpulannya, aktiviti melepak bukanlah perkara baru, ianya sudah lama wujud di Malaysia. Ibu bapa sewajarnya turut memberi perhatian kepada corak asuhan dan peranan ibu bapa yang dilakukan di rumah kerana ianya memberi kesan yang tersendiri kepada keterlibatan aktiviti lepak dalam kalangan anak-anak mereka. Ibu bapa perlu melengkapkan diri anak-anak mereka dengan ilmu agama yang cukup. soalan 6 : Peranan keluarga dalam pembangunan modal insan.

Dalam era globalisasi tanpa limitasi ini, negara Malaysia kini sedang pesat membangun dari sehari ke sehari. Persoalannya, apakah faktor yang mendorong pembangunan ini? Sebenarnya, pembangunan negara adalah sejajar dengan pembangunan modal insan kelas pertama yang berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi. Modal insan ini lahir daripada generasi muda kita yang berwawasan tinggi. Generasi yang berwawasan memiliki sikap-sikap positif seperti dinamik, proaktif, beriltizam dan berdaya saing. Tetapi apakah pula rahsia pembentukan generasi berwawasan yang mendukung pembangunan modal insan di negara ini?
Dalam hal ini, keluarga memainkan peranan dan tanggungjawab yang sangat penting untuk dipikul demi merealisasikan hasrat negara untuk melahirkan lebih ramai modal insan yang cemerlang dalam pelbagai aspek.Generasi hari ini merupakan pemimpin masa hadapan. Mereka mesti menyediakan diri dengan ciri-ciri kepimpinan dan memantapkan ilmu serta kemahiran. Di sini jugalah keluarga khususnya ibu bapa memainkan peranan untuk memimpin tangan dan membantu anak mereka dalam mengharungi kehidupan dengan cara yang paling efektif sekali. Hal ini demikian kerana keluarga merupakan pihak yang paling dekat dengan anak-anak. Ibu bapa seharusnya menunjukkan teladan yang baik terhadap anak-anak kerana segala perbuatan dan tingkah laku ibu bapa pasti akan diikut oleh anak-anak mereka. ‘Di mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi’ merupakan peribahasa yang relevan dengan isu ini.

Sudah menjadi lumrah hidup manusia, anak-anak sememangnya akan akan memperhatikan dan meniru gerak tari ibu bapanya. Jika sumbang gerak tari ibu bapanya maka sumbanglah juga gerak tari mereka. Justeru, ibu bapa perlu bersikap optimistik tidak kira dalam apa-apa keadaan demi memastikan anak-anak sentiasa berada di landasan yang betul dan seterusnya melahirkan anak yang sentiasa bersikap positif.Selain itu, ibu bapa turut memainkan peranan untuk mewujudkan suasana yang harmoni dalam keluarga. Hal ini demikian kerana suasana yang harmoni dapat mengelakkan anak-anak daripada terlibat dengan gejala negatif. Apabila suasana ini dapat diwujudkan ikatan silaturahim antara keluarga akan lebih utuh. Hal ini seterusnya dapat mengelakkan gangguan emosi dalam kalangan anak-anak dan seterusnya membendung anak-anak daripada tergelincir dari landasan yang benar.

Setiap hari di dada akhbar kita dapat melihat bahawasanya remaja kini kebanyakannya terlibat dengan masalah sosial yang menjadi-jadi bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Justeru, ibu bapa dan keluarga harus membimbing dan memantau anak-anak supaya tidak terjebak ke dalam sesawang negatif dan menghancurkan usaha untuk membina modal insan.Peribahasa Melayu ada mengatakan, ‘kepapaan menajamkan akal manusia, kekayaan menumpulkan akal manusia’. Peribahasa ini memberi maksud yang sangat jelas bahawa ibu bapa tidak harus melimpahkan kemewahan terhadap anak-anak kerana kemewahan dan kekayaan akan menyebabkan anak-anak lalai dalam menjalani kehidupan. Sebaliknya anak-anak lebih suka berfoya-foya dan mengabaikan tanggungjawab utama mereka iaitu menuntut dan menimba ilmu. Sememangnya, ibu bapa harus bijak menguruskan kewangan anak-anak mereka dan mendidik mereka bagi mengelakkan mereka tergolong dalam golongan yang lalai dan rugi.Di samping itu, ibu bapa harus mengikuti perkembangan pembelajaran anak-anak dan sentiasa memberi sokongan kepada mereka. Dalam hidup ini, setiap manusia yang memperoleh kejayaan pasti pernah menemui kegagalan pada suatu ketika dahulu. Dalam hal ini, jika anak-anak gagal dalam sesuatu perkara misalnya peperiksaan, ibu bapa tidak seharusnya menghukum mereka sebaliknya memberi dorongan dan menasihati mereka. ‘Pengalaman ialah ibu segala kejayaan’ merupakan peribahasa Jepun yang sangat sesuai dengan isu ini. Sebaik-baiknya kegagalan yang pernah dihadapi itu dijadikan pengalaman dan sejarah yang tidak boleh diulang kembali. Jelaslah di sini bahawa, dorongan dan sokongan ibu bapa dapat mendidik anak-anak untuk mengawal emosi mereka dan seterusnya membentuk modal insan yang cemerlang dari aspek emosinya.

Seterusnya, didikan agama merupakan aspek yang paling penting bagi membentuk generasi yang bersih dari segi rohani dan jasmani. Dalam hal ini juga ibu bapa ialah pihak yang bertanggungjawab untuk menerapkan nilai-nilai agama dalam diri anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana dengan pengetahuan agama yang menebal dalam diri, anak-anak dapat membezakan perkara yang benar dan batil. Anak-anak juga lebih terdorong untuk melakukan kebaikan dan secara tidak langsung dapat menyuntik semangat mereka untuk berusaha dengan gigih demi mencapai matlamat. Perkara ini juga dapat membina disiplin diri anak-anak dan melicinkan usaha untuk menambah bilangan modal insan dalam negara kita.Natijahnya, ibu bapa dan keluarga memainkan peranan yang begitu penting dalam pembentukan modal insan dalam kalangan anak-anak mereka.

Bahawasanya, gabungan nilai-nilai murni, ilmu pengetahuan dan kemahiran serta disiplin diri yang tinggi boleh melahirkan generasi berwawasan yang menjadi akar kepada pembangunan modal insan kelas pertama yang cemerlang dari aspek fizikal, mental dan emosi. Dalam hal ini, ruyung perlulah dipecahkan untuk menikmati sagunya. Oleh itu, ibu bapa tidak boleh berputus asa berusaha untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna dalam masyarakat, bangsa dan agama serta membatu merealisasikan satu agenda penting negara iaitu melahirkan generasi berwawasan yang menjadi penggerak kemajuan negara.

Langkah-langkah untuk memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak

Soalan 3
Nilai-nilai murni boleh menjadi asas kepada pembentukan sahsiah seseorang individu.

Bincangkan langkah-langkah untuk memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak.

Nilai murni boleh ditakrifkan sebagai amalan yang baik dalam kehidupan, umpamanya hormat-menghormati, tolong-menolong, prihatin, bersimpati, berperikemanusian dan lain-lain lagi. Namun, pada era dunia tanpa sempadan ini, amalan murni ini semakin lenyap ditelan zaman. Persoalan yang menjadi percaturan minda adalah apakah prakarsa istiqamah yang boleh dijana untuk menjamin amalan suci in terus diamalkan?
Obligasi untuk memupuk nilai-nilai murni ini tidak harus dipandang enteng oleh setiap ibu bapa dan haruslah dijulang sampai ke langit. Ibu bapa harus mendidik amalan ini sejak anak-anak merah tapak kaki lagi, bak kata pepatah, melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Hal ini kerana secara analoginya, kanak-kanak diibaratkan kain putih dan ibu bapa merupakan warna yang akan mencorakkan kehidupan anak-anak mereka. Misalnya, ibu bapa harus menerapkan ajaran agama yang mantap dalam atma anak-anak dengan membawa mereka untuk mendekati Tuhan seperti dengan bersembahyang dan mengikut anutan agama masing-masing. Selain itu, mereka haruslah mengajar anak-anak untuk menghormati orang tua dan menyayangi haiwan. Mereka mestilah memberi amaran kepada kanak-kanak supaya tidak bersikap biadab terhadap sesiapa sahaja apatah lagi ahli keluarga sendiri. Malah, mereka harus mendidik kanak-kanak tentang cara bercakap dengan orang tua dan tingkah laku semasa berada di rumah orang. Apabila selalu terdedah kepada pengajaran sedemikian, kanak-kanak boleh membezakan antara intan dengan kaca dan antara batu dengan permata. Dalam konteks ini, ibu bapa juga haruslah menjadi teladan yang terbaik kepada anak-anak dengan bersikap sopan santun kerana pepatah Melayu ada mengatakan bahawa bapa borek anak rintik. Ikhtisarnya, ibu bapa perlu berpegang kepada prinsip jika menebang menuju pangkal, jika melanting menuju tangkai dalam mendidik anak-anak agar mereka mengamalkan nilai-nilai murni yang disanjungi, bak rangkap sajak berikut,

Hikayat Melayu disanjungi warisan,
Menjadi wahana penglipur nestapa,
Anak bersopan tonggak wawasan,
Berkat usaha ibu dan bapa.

Sementelahan itu, peranan pendidikan formal dalam memupuk nilai-nilai murni dalam sukma kanak-kanak tidak harus kita kesampingkan. Amalan nilai-nilai murni dalam kehidupan misalnya nilai bertanggungjawab, rasional, kepercayaan kepada Tuhan, amanah, toleransi, berhemah tinggi, kesederhanaan, kasih sayang, menyayangi dan menghargai alam sektiar, hidup bersama secara aman, mematuhi peraturan dan undang-undang wajar diterapkan dalam subjek Pendidikan Moral, Pendidikan Sivik Dan Kewarganegaraan, serta Pendidikan Agama Islam. Kendatipun, untuk mencapai misi yang komprehensif dan konkrit, nilai-nilai murni haruslah diamalkan secara berkesan. Bertitik tolak daripada itu, pihak sekolah boleh menganjurkan minggu Budi Bahasa Budaya Kita dan memberi anugerah Pelajar Sopan kepada pelajar yang bersikap sopan santun, menghormati guru-guru dan berhemah tinggi sepanjang berada di sekolah supaya boleh menjadi suri teladan kepada pelajar lain. Tambahan pula, para pendidik harus mementingkan amalan nilai murni dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) dengan mengajar murid-murid terutama pelajar sekolah rendah tentang adab sopan ketika berada di dalam kelas, adab sopan ketika berkomunikasi dengan guru dan rakan. Hal ini kerana misi pendidikan negara kita bukan sahaja untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dalam kurikulum dan kokurikulum, malah juga untuk melahirkan modal insan yang mengamalkan nilai-nilai murni, bermoral dan bertatasusila, sejajar dengan prinsip kelima Rukun Negara, yakni Kesopanan dan Kesusilaan. Deduksinya, sudah terang lagi bersuluh bahawa pendidikan merupakan senjata yang dominan untuk memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak.
Rentetan iu, kerajaan juga sewajarnya memandang serius masalah yang berkaitan sahsiah kanak-kanak bagai menghela rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak. Pihak kerajaan sepatutnya bersendel bahu dengan pihak media massa dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Astro, Persatuan Karyawan Malaysia dan lain-lain lagi untuk menggerakkan kempen Budi Bahasa Budaya kita secara menyeluruh di tanah air kita kerana bersatu teguh bercerai roboh. Barangkali, kempen yang dianjurkan oleh kerajaan tidak berkesan kerana tidak disokong oleh banyak pihak, termasuklah syarikat-syarikat swasta yang bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Buktinya, kempen Kami Prihatin gagal mengurangkan “kemelut sosial” yang semakin berleluasa dalam masyarakat kita, iaitu isu pembuangan bayi. Berikutan itu, kempen Budi Bahasa Budaya kita hanya akan berjaya sekiranya semua pihak melibatkan diri dalam pelaksanaannya. Dalam pada itu, kempen ini perlu disempurnakan di peringkat awal persekolahan, iaitu tadika untuk memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak. Ceramah, pertandingan menulis esei, melukis poster, pertandingan syarahan, pertandingan kuiz dan sebagainya boleh dilaksanakan sempena kempen ini. Pihak sekolah pula haruslah mewajibkan penglibatan murid-murid dalam kempen ini untuk memastikan keberkesanannya, bak kata pepatah, bulat air kerana pembuluh, bulat kata kerana muafakat. Selain itu, kempen tersebut haruslah disokong oleh artis-artis tempatan dan luar negara yang menjadi idola masyarakat, seiring dengan trend pemuda-pemudi kini yang suka mengikut jejak langkah idola mereka dari semua aspek. Jelaslah menunjukkan bahawa kempen-kempen yang mendapat sokongan semua pihak mampu mencapai matlamat melahirkan kanak-kanak yang bersahsiah mulia.
Di samping itu, peranan media massa, sama ada media cetak dan media elektronik amat dominan dalam usaha memupuk nilai-nilai murni dalam atma kanak-kanak. Berdasarkan penyelidikan, dipercayai bahawa kecanggihan teknologi media seperti televisyen, radio dan internet serta akhbar arus perdana mampu mempengaruhi akhlak kanak-kanak kerana kanak-kanak pada era moden ini sememangnya sudah celik teknologi maklumat. Mereka akan tergila-gila kepada media baru. Oleh hal yang demikian, pihak media massa bolehlah mengambil kesempatan ini untuk menyiarkan iklan, dokumentari, drama dan paling penting, siaran kartun yang semestinya menjadi kegemaran kanak-kanak. Misalnya, iklan tentang seorang kanak-kanak yang memberi tempat duduk kepada orang tua di dalam komuter yang kerap disiarkan di TV3 dan iklan kanak-kanak membantu seorang wanita tua mengangkat barang amat berkesan kepada penonton. Malahan, drama-drama seperti “Precious Babies”, “Three Pads”, “One Mom”, “Hwang Jin Yi”, “Next Stop, Happiness” dan lain-lain lagi mengandungi babak-babak yang menonjolkan kepentingan nilai-nilai murni yang boleh dipelajari dan seterusnya diamalkan oleh kanak-kanak dalam kehidupan seharian. Jadi, sudah terang lagi bersuluh, bahawa media massa merupakan wadah yang paling sesuai untuk memupuk nilai-nilai murni dalam sanubari kanak-kanak.
Akhirulkalam, semua pihak sewajarnya berganding bahu untuk mengorak langkah yang afdal bagi memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak agar memacu pembangunan negara untuk memakbulkan hasrat mencapai Wawasan 2020. Kita sedia maklum bahawa kekurangan nilai-nilai murni dalam diri individu akan menyumbang kepada pelbagai gejala sosial yang semakin meruncing dalam masyarakat. Selaras dengan peribahasa Melayu yang mengatakan tiada keruh yang tidak dapat dijernihkan, tiada kusut yang tidak dapat dileraikan, bersama-samalah kita memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak, bak rangkap sajak yang dipetik daripada sajak Seuntai Kata Untuk Dirasa karya A. Samad Said,

Sekarang singkirkan semua bicara,
Sekarang kumpulkan tenaga raksasa,
Tiba saat berbunga merah,
Serentak kita bersama.

Anak ibarat kain putih , ibu bapalah yang insan yang bertanggungjawab mencorakkannya. Jika merah, merahlah ia, jika biru, birulah ia. Corak yang dihasilkan itu bakal menentukan siapakah anak-anak pada masa hadapan, Ibu bapa sentiasa mengharapkan dan mendambakan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna serta berbakti terhadap orang tua. Demi mencapai keinginan tersebut ibu bapa sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan hasrat hati mereka itu terlaksana dengan jayanya. Mereka tega menghabiskan masa dan tenaga bahkan wang ringgit demi melihat anak-anak mereka berjaya. Kebanyakan ibu bapa menyayangi anak mereka dengan setelusnya, umpama menatang minyak yang penuh. Namun, dengan mencurhkan kasih sayang semata-amata tidak mungkin akan dapat menjadikan anak-anak seorang insan yang berbakti, justeru usaha-usaha lain harus ditimbal balik dan diambil kira.

Memetik kata-kata pakar motivasi terkenal Malaysia Dr. H.M Tuah Iskandar “seribu mancis tidak dapat menerangi engkau dalam kegegalapan namun, cahaya keimanan pasti dapat menyuluh engkau ke jalan kebahagiaan”. Oleh hal yang demikian, langkah awal wajar diambil oleh ibu bapa untuk meralisasikan hasrat murni itu iaitu dengan cara menerapkan dan memberikan didikan agama yang sempurna. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud; “ suruh dan perintahlah anak-anakmu mendirikan solat sedari umurnya tujuh tahun”. Solat merupakan perkara terpenting yang perlu dipantau oleh ibu bapa. Solat dapat mendidik anak-anak untuk sentiasa melakukan perkara baik dan menjauhi perkara mungkar. Apabila anak-anak telah diterapkan dengan nilai-nilai murni seperti menghormati oarng tua dan berbudi pekerti luhur, sudah pasti segala apa yang diangan-angankan oleh ibu bapa akan menjadi realiti. Insan yang berguna ialah insan yang tahu nilai diri dan estetika. Jadi apabila benteng pertahanan diri mereka sudah cukup teguh, segala apa yang dirancang pasti menjadi nyata.

Seterusnya usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan harapan melihat anak-anak mereka berjaya itu tercapai adalah dengan bermain “tarik tali’ dengan anak-anak. Dalam usaha mendidik anak-anak ibu bapa perlu mengamalkan toleransi, perasaan kasih sayang dan bertegas dalam bicara perlu menjadi tunjang utama. Ibu bapa tidak perlu memanjakan anak-anak sehingga mereka merasakan bahawa diri seperti anak emas dalam keluarga, ibu bapa boleh menuruti rengekkan dan permintaan anak-anak. Namun, mereka harus berpada-pada, Sedikit penegasan perlu diberikan. Hal ini bertujuan mengelakkan anak-anak menjadi manja dan besar kepala. Menghukum apabila anak-anak melakukan kesalahan tidak bererti ibu bapa membanci, tetapi hal ini merupakan tanda ibu bapa menyayangianak-anak. Apabila perasaan kasih sayang dan bertegas sudah menjadi sama rata, maka tidak akan wujud sebarang kekangan. Anak-anak akan sentiasa mengawal tingkah laku dan peradaban mereka. Malah, mereka pasti akan melakukan yang terbaik demi membahagiakan diri sendiri dan ibu bapa yang tercinta. “Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Perpeganglah kepada peribahasa tersebut, nescaya kesudahan yang baik akan menjadi milik kita.

“Lampu Alladdin tidak akan bersinar dengan sendiri tetapi Alladdin akan mengosoknya terlebih dahulu”. Begitulah kata-kata azimat yang ditinta oleh Alex Osborn. Hasrat ibu bapa untuk menyaksikan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna tidak akan berhasil jika ibu bapa sahaja yang bertungkus lumus menggembleng tenaga. Dalam konteks ini, ibu bapa perlu memberi sedikit penekanan terhadap kepentingn pendidikan dalan sanubari anak-anak. Ibu bapa perlu mengasuh anak-anak untuk memahami dan mendalami ilmu. Anak-anak pula perlulah berusaha untuk mencapai keinginan tersebut. Anak-anak umpama jentera yang memerlukan minyak pelincir bagi menlancarkan pergerakannya. Apabila minyak pelincir sudah dituang, maka akan lencarlah pergerakannya. Sehubungan dengan itu, kedua-dua belah pihak perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masnig bagi memastikan kelangsungan perjalanan hidup mereka.

Tun Dr Mahathir pernah berkata, “banyak masalah di dunia ini berpunca daripada sikap manusia yang tidak pernah berusaha memahami antara satu sama lain dan berbincang untuk melepaskan diri daripada sebarang musibah”. Oleh yang demikian langkah drastik yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna ialah dengan menyelami hati dan keinginan anak-anak. “Umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak”, ibu bapa perlu sebaik-baiknya mengetahui rasa hati anak-anak. Cara sebegini akan dapat menghindari anak-anak daripada berasa tertekan. Tertekan dalam konteks ini bermaksud bahawa anak-anak akan berasa dalam dilema sama ada menurut kemahuan diri dan menghancurkan harapan ibu bapa atau menurut kemahuan ibu bapa dan merobek hati sendiri. Kebanyakan ibu bapa mengharapkan anak-anak berusaha untuk mencapai mimpi mereka tanpa memikirkan kemampuan sebenar anak-anak. Anak-anak akan memberontak akibat desakan yang bertubi-tubi daripada ibu bapa. Nah, apabila situasi ini berlaku, lain yang diharap lain yang menjadi, bak kata pepatah, yang dikejar tidak dapat yang diikendong berciciran. Oleh itu, ibu bapa perlu memikirkan sedalam-dalamnya atas segala tindakan yang akan diambil. Setiap insan memiliki paradigma dan pandangan yang berbeza dalam menentukan hala tuju hidup mereka. Dato Dr Fadzillah Kamsah, ada menyebut “usah direnung ke langit hingga terlupakan bumi, sedangkan langit tidak mungkin digapai, sedangkan bumi sedia di tapak kaki”.

Selanjutnya ibu bapa haruslah memberikan sedikit ruang kepada anak-anak untuk melakukan apa yang mereka hajati, asalkan tidak menyipang dan tersasar jauh ke lembah kehancuran. Dalam memastkan anak-anak berhsil menjadi insan yang berguna, ibu bapa tidak boleh terlalu mengongkong anak-anak. Tiada paksaan dalam menuntut ilmu. Jika anak-anak tidak mampu meneruskannya, ibu bapa tidak boleh terus memaksa. Sebaliknya dorongan dan kata-kata semangat perlu diberi untuk menaikkan semula semangat membara anak-anak. Ahli Falsafah Pascal mengungkapkan “kalau kita berusaha mencapai keinginan, mulakan dengan kata-kata yang lembut kerana kata-kata yang lembut umpama air yang menyirami tanah yang tandus”. Desakan dan paksaan akan menjatuhkan anak-anak. Sebaliknya dorongan dan nasihat akan mendorong anak-anak untuk berjaya kerana “anak umpama bunga-bunga yang tumbuh di taman, yang menjadi tanah dan baja ialah ibu bapa”. Justeru mulakan dengan kelembutan dalam memastikan kejayaan menjadi hak hakiki dan azali anak-anak.

Intihanya, sudah terang lagi bersuluh, usaha untuk memastikan anak-anak mereka supaya menjadi insan berguna bukanlah mudah. Professor Beetcher pernah berkata, “anak-anak ibarat simen basah, sesiapa yang jatuh ke atasnya pasti memberi kesan”. Justeru, ibu bapa perlu berhati-hati mengambil sebarang tindakan dalam usaha melahirkan model insan yang cemerlang. Usaha yang sewajarnya perlu diambil dan segala emosi yang membungkam jauh dalam sanubari perlu ditolak ke tepi. Kepentingan setiap individu perlu diambil kira dan dipertimbangkan. Akhir kalam, pendayong sudah di tangan, perahu sudah di air, segala tindakan wajar sudah terpampang hanya yang tinggal adalah usaha untuk melaksanakannya. Jauhkan emosi untuk meningkatkan prestasi.

CONTOH KARANGAN PILIHAN SPM:PERANAN IBU BAPA SANGAT PENTING DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK Ibu bapa merupakan orang yang paling penting dalam sistem pendidikan anak-anak. Ini didasarkan pada hubungan rapat mereka dengan anak-anak. Adalah tidak dapat dinafikan yang anak-anak menghabiskan sebahagian besar masa di rumah bersama-sama ibu bapa mereka. Hubungan yang intim ini pastinya dapat menghasilkan sesuatu yang baik terutama di segi pembentukan peribadi anak-anak itu sendiri. Di sinilah terletaknya peranan dan tanggungjawab ibu bapa dalam menentukan sikap dan kelakuan anak-anak.

Ibu bapa juga adalah golongan yang amat dihormati oleh kanak-kanak. Lazimnya kanak-kanak lebih menghormati ibu bapa jika di bandingkan dengan guru-guru mereka. Justeru itu anak-anak lebih mudah mematuhi apa jua arahan dan tegahan ibu bapa. Dari aspek ini jelas memperlihatkan betapa ibu bapa dapat memainkan peranannya dalam membentuk keperibadian juga nilai-nilai yang sesuai untuk disematkan di jiwa anak-anak mereka.

Peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak sememangnya sangat penting di dalam dunia yang semakin moden dan mencabar ini. Pengaruh media massa, pengaruh budaya kuning, pengaruh rakan-rakan sebaya dan pengaruh-pengaruh anti moral cukup kuat mempengaruhi tingkah laku anak-anak. Pengaruh -pengaruh ini merupakan daya tarik tarikan yang berkesan tentunya akan menjuruskan peribadi anak-anak ke arah yang tidak sihat. Oleh itu benteng yang paling ampuh untuk membendung pengaruh sedemikian hanyalah ketegasan dan sikap prihatin ibu bapa di rumah.

Di masa kini, sekolah tidak lagi diiktiraf sebagai institusi yang berjaya dalam membentuk disiplin serta asas-asas moral yang baik terhadap diri kanak-kanak. dalam erti kata lain, sekolah gagal bertindak sebagai badan sosial yang baik. Malahan ibu bapa sendiri tidak lagi begitu yakin dengan peranan sekolah. Dengan itu, adalah perlu pendidikan anak-anak diberi penekanan yang intensif di rumah. ini cukup berasas memandangkan sekolah tidak lagi berhasil melahirkan generasi yang bermoral tinggi sebaliknya hanya berperanan sebagai institusi penyampai pelajaran sahaja.

Guru juga berperanan dalam mendidik kanak-kanak. tetapi peranan mereka lebih berupa sampingan atau tambahan dalam memantapkan lagi nilai-nilai murni di jiwa kanak-kanak yang telah disemaikan oleh ibu bapa. Ini disebabkan guru hanya berdamping dengan kanak-kanak sewaktu menyampaikan pelajaran di sekolah. mereka juga terikat dengan tugas sebagai tenaga pengajar yang pastinya mempunyai masa yang terhad untuk mengenali peribadi para pelajar . Berbeza dengan ibu bapa, mereka mempunyai dua per tiga ruang waktu untuk bersama anak-anak. Kesempatan ini membolehkan mereka mendidik akhlak yang baik di kalangan anak-anak.

Rumah adalah asas segala-galanya. Di sini terhimpun ahli keluarga yang di terajui oleh ibu bapa. sikap ibu bapa adalah teladan atau sempadan pada anak-anak. Oleh yang demikian ibu bapa mesti memperlihatkan tingkah laku yang baik agar menjadi ikutan anak-anak mereka. Tidak sukar untuk mendidik anak-anak terutama di usia muda mereka kerana pada hakikatnya mereka amat mudah mengikuti apa saja yang di ajar atau dilihat. justeru itulah wujudnya peribahasa "hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya". Jika ibu bapa bijak mengatur hidup mereka akan lahirlah anak-anak yang bijaksana.

Kejadian jenayah di kalangan remaja seringkali berpunca dari keadaan keluarga yang porak-peranda. Dalam situasi yang tidak tenteram , anak-anak lazimnya akan mencari jalan keluar dengan mengikut emosi semata-mata. Mereka juga akan bertindak tanpa menggunakan akal fikiran. Akibatnya mereka mudah terdorong melakukan perbuatan-perbuatan yang menyalahi undang-undang seperti memeras ugut, mencuri dan sebagainya. Di sinilah pentingnya peranan dengan memberikan perhatian dan kasih sayang, tentu anak-anak merasa hidup mereka damai serta berharga dan tidak sekali-kali melibatkan diri dalam kes-kes jenayah yang akan menggelapkan masa depan mereka.

Ibu bapa turut berperanan sebagai guru semasa nak-anak berada di rumah. selain menyalurkan pengetahuan akademik, ibu bapa bertanggungjawab penuh menerapkan didikan agama dan nilai-nilai hidup yang murni di jiwa anak-anak. Dengan lain perkataan , ibu bapa mesti menseimbangkan didikan rohani dan jasmani anak-anak mereka. Berbekalkan ajaran-ajaran sendiri untuk menerajui hidup mereka bila dewasa kelak. Didikan yang sempurna juga berupaya mencegah anak-anak dari terlibat dalam kegiatan-kegiatan tidak sihat seperti penagihan dadah, pelacuran, perjudian dan lain-lain lagi.

Sewaktu dilahirkan, anak-anak ibarat ssehelai kain putih. Di atasnya boleh dicorakkan apa warna sekali pun. Di sini jelas ibu bapa adalah golongan utama yang memainkan peranan untuk membentuk keperibadian anak-anak. Di tangan merekalah terhimpunnya tanggungjawab untuk membesar mengasuh dan mendidik anak-anak. Sempurna didikan yang di beri akan dewasalah anak-anak mereka menjadi manusia berguna kepada keluarga, agama, bangsa dan negara. Sebaliknya jika ibu bapa cuai dan mengabaikan tanggungjawab mereka, anak-anaklah yang menjadi mangsa.

Kesimpulannya, peranan ibu bapa adalah sangat penting dalam mendidik anak-anak. Hakikat ini sememangnya tidak dapat disaangkal oleh sebarang pihak. ibu bapalah orangnya yyang bertanggungjawab memberi asuhan dan didikan sempurna kepada anak-anak mereka kerana anak-anak itu merupakan rezeki dan amanah Tuhan kepada mereka. Dalam pada itu, peranan guru dan sekolah turut penting bagi melahirkan golongan terpelajar dan berdisiplin. Tetapi tanpa kerjasama ibu-bapa, adalah sukar untuk guru-guru di sekolah memainkan peranannya. jadi jelas peranan ibu bapa lebih diperlukan dalam mendidik anak-anak.

Similar Documents