Free Essay

Trip to Hatyai in a Day

In:

Submitted By islamsaranghae
Words 758
Pages 4
PERMUSAFIRAN KE BUMI HATYAI, THAILAND

Pada 4 September hingga 6 September 2015 yang lalu, jawatankuasa pelaksana Islamic Convention of Entrepreneurships (iCEPs) kali ke 11 telah mengadakan lawatan singkat ke bumi Hatyai, Thailand. Lawatan singkat selama 3 Hari 2 Malam ini telah disertai seramai 61 orang peserta baik dari kalangan pelajar USIM mahupun orang luar USIM serta diiringi oleh 2 orang staf Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM). Bayaran yang dikenakan kepada peserta adalah sebanyak RM120 sahaja termasuk makanan dan bayaran pemandu pelancong. Perjalanan kami bermula pada jam 11.30 malam (Jumaat) ke Padang Besar, sempadan negeri Perlis dan Thailand selepas mengumpulkan semua peserta di Fakulti Ekonomi dan Muamalat dan perhentian bas Acacia. Dua bas USIM yang kami naiki selamat sampai di Pejabat Imigresen sempadan Malaysia-Thailand pada jam 9 pagi (Sabtu). Selepas selesai urusan di Pejabat Imigresen Malaysia dan Thailand, kami disambut baik oleh pemandu pelancong warga Muslim Thailand di sana yang juga petah berkomunikasi dalam Bahasa Melayu. Kami disediakan sebuah bas mewah dua tingkat dan sebuah van memuatkan 10 orang penumpang. Tempat pertama yang kami lawati adalah Ice Dome yang terletak di Municipal Park, Hatyai. Peserta dikenakan bayaran sebanyak 300 Baht untuk memasuki tempat yang bersuhu hanya 15 darjah Celcius itu.

Gelagat sebahagian peserta di Ice Dome, Municipal Park, Hatyai Kemudian kami dibawa ke Pang Chang Puak Elephant Camp Hat Yai yang menempatkan beberapa ekor gajah putih. Pelbagai aktiviti menarik yang disajikan kepada kami di sana seperti dibawa menaiki gajah meredah hutan selama 30 minit. Bayaran yang dikenakan adalah sebanyak 500 Baht seorang. Selain itu juga, kami boleh menyaksikan persembahan pelbagai gelagat gajah putih dengan bayaran hanya 300 Baht. Aktiviti memanah dan menembak juga disediakan dengan bayaran sebanyak 150 Baht dan 100 Baht. Ramai peserta memilih untuk memberi makan pisang kepada gajah dengan harga 100 Baht sahaja.

Bergambar beramai-ramai di hadapan Pang Chang Puak Elephant Camp

Peserta memberi gajah makan pisang Seterusnya, kami singgah sebentar di Kau Sing Songkhla Mosque, Songkhla untuk menunaikan Jama’ solat Zohor dan Asar di sana serta berhenti makan tengahari di sekitar gerai-gerai warga Muslim Thailand berhampiran masjid. Pelbagai jenis makanan popular Thailand yang kami temui seperti Tom Yam Gung, Som Tam, nasi goreng pelbagai jenis, kerabu mangga, rojak buah, sosej bakar yang dicicah sos Thai, pulut mangga dan macam-macam lagi makanan menarik di sana. Kami meneruskan perjalanan kami ke Ranu Food Store dan Nora Plaza yang menjual pelbagai barangan popular di Thailand. Sebelum sampai ke destinasi yang kami tuju, kami melewati Pantai Samila berdekatan dengan Universiti Rajabhat Songkhla. Di Ranu Food Store, beraneka makanan tradisional Thailand dijual di sana seperti perencah Tom Yam Gung, perencah Tom Yam Kung Thai kerepek pisang, kerepek ubi dan banyak lagi. Apa yang menarik di Ranu Store adalah mee segera Tom Yam berjenama MAMA dan FF yang dijual murah selain berlogo Halal. Setengah jam di Ranu Store, kami singgah pula di Nora Plaza yang menjual pelbagai barangan murah seperti beg tangan wanita, beg sandang, kasut, T-shirt pelbagai saiz, tali leher sutera, alat perhiasan wanita, produk kosmetik tanpa kimia menggunakan bahan semulajadi dan banyak lagi. Di Nora Plaza juga terdapat kaunter penukaran matawang menyebabkan ramai peserta menukar lagi wang Ringgit Malaysia mereka kepada Baht Thailand. Sekitar jam 5.30 petang, kami dibawa membeli belah di Asean Plaza Night Market. Peserta kembali ke bas dengan plastik yang penuh di tangan kerana barangan yang dijual di sana tersangatlah murah berbanding tempat-tempat yang kami lawati sebelum ini. Apa yang dijual di sana adalah T-shirt menarik yang berharga 100 Baht, baju sejuk berharga hanya 300 Baht, purse 80 Baht, handbag 200 Baht dan tidak terkecuali makanan yang beraneka jenis dan dijamin Halal kerana penjualnya warga Muslim Thailand selain fasih berbahasa Melayu loghat Kelantan. Apa yang lagi menarik di sini adalah harga barangan yang tercatat di atas kami boleh minta diskaun hingga 30 peratus dari harga sebenar. Kami hampir sahaja terpaksa menginap di Thailand semalaman kerana kami sampai di pintu pagar imigresen Thailand-Malaysia 10 minit sebelum ditutup. Alhamdulillah kami berjaya melawat Hat Yai dalam masa sehari. Walaupun singkat, lawatan ini mencoretkan pelbagai pengalaman berharga kepada kami. Perjalanan kami ke USIM, Nilai dari Padang Besar bermula jam 10.30 malam hingga 7 pagi keesokan hari. Walaupun ia agak memenatkan, kami berjaya mencipta memori serta pengalaman baru bersama rakan-rakan dan kenalan baru di sana. Pengalaman yang kami tidak dapat lupakan adalah apabila kami bahasa antarabangsa iaitu bahasa gerak tubuh untuk berkomunikasi dengan penduduk Thailand yang tidak pandai berbahasa Melayu dan segelintir sahaja yang fasih berbahasa Inggeris.

Pengarah bergambar kenangan bersama pemandu pelancong kami, Encik Usman Bin Isa.

Similar Documents