Program Jiwa Murni TLDM dan Impak Kepada Masyarakat Setempat
Lt Hijiril Aswad bin Wahid TLDM
Markas Kejuruteraan TLDM
Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) merupakan pihak yang dipertanggungjawabkan dalam aspek keselamatan maritim negara. Walaupun memikul tanggungjawab yang berat, TLDM tetap komited dalam memenuhi tanggungjawab sosialnya kepada negara. Penglibatan TLDM dalam program jiwa murni sedikit sebanyak membantu kerajaan dalam mencapai sasaran Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang menggariskan kerjasama pintar antara Kementerian Pertahanan dan masyarakat awam dalam melaksanakan program pembangunan negara. Strategi tersebut secara tidak langsung memberi imej yang positif kepada warga tentera dan secara tidak langsung menjadi platform terbaik untuk TLDM mendekati masyarakat setempat. Komitmen dan kesungguhan TLDM dalam melaksanakan Program Jiwa Murni dapat dinilai apabila perkara tersebut diukur melalui Indeks Key Performance Indicator (KPI) di setiap Markas dan Formasi. TLDM telah menetapkan matlamat agar semua unit-unit TLDM di bawah naungan untuk melaksana atau menganjur Program Jiwa Murni sekurang-kurangnya 2 kali setahun dengan fokus diberikan kepada masyarakat setempat terutamanya bagi mereka yang berada di kawasan yang benar-benar memerlukan bantuan. Impak dari program tersebut dapat dilihat apabila warga TLDM diterima baik oleh masyarakat. Masyarakat mula menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak TLDM dengan melaporkan insiden-insiden mencurigakan yang berlaku di kawasan rondaan TLDM. Perkara ini secara tidak langsung membantu TLDM dalam membantu membanteras unsur-unsur jenayah dari berlaku di perairan negara dengan mengambil langkah awal hasil perkongsian maklumat bersama masyarakat setempat. Perkara ini juga turut menjadi pertahanan cegah rintang untuk mengelakkan anggota-anggota TLDM dari terjebak dari gejala tidak sihat memandangkan masyarakat setempat mula menjadi ‘mata dan telinga’ kepada mengenai salah laku anggota kepada TLDM di luar pangkalan selain dapat memenuhi masa lapang anggota dengan aktiviti yang berfaedah. Selain itu, impak lain yang turut diperoleh apabila pelaksanaan program ini dilakukan dapat dilihat kepada kejayaan TLDM dalam menarik golongan anak muda memilih TLDM sebagai kerjaya pilihan. Imej yang baik dipaparkan sewaktu program berikut secara tidak langsung memberi persepsi yang positif kepada anak muda untuk menyertai kerjaya TLDM yang diakui kurang popular bagi anak-anak muda pada masa kini. Penyebaran Program Jiwa Murni menggunakan media sosial juga turut memberi impak terutamanya kepada masyarakat pendalaman yang tidak terdedah kepada kerjaya TLDM. Kesimpulannya, Program Jiwa Murni merupakan satu program ‘menang-menang’ bagi masyarakat dan TLDM yang patut diteruskan pada masa hadapan.
Menhan turut serta dalam aktiviti Jiwa Murni anjuran ATM
Aktiviti Gotong –royong selain menyihatkan turut merapatkan hubungan dengan masyarakat setempat