ABSTRAK
Laporan ini mengandungi objektif kajian, kaedah yang digunakan dalam penyempurnaan projek ini, dapatan kajian serta kepentingan dan sumbangan yang dicapai dalam kajian ini.
Antara objektif kajian yang tersenarai adalah untuk mengkaji asal usul, adat resam, dan pantang larang kaum Sikh. Selain itu, kami juga berharap agar kajian ini dapat mengkaji adat perayaan yang diamalkan oleh kaum Sikh. Melalui projek ini, kami berharap dapat mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi oleh kaum Sikh semasa meraikan perayaan mereka. Objektif yang keempat dan lima adalah mengenal pasti punca-punca kekurangan penglibatan masyarakat Malaysia dalam perayaan kaum Sikh dan mengenal pasti cara-cara meningkatkan penglibatan masyarakat lain dalam perayaan kaum Sikh. Seterusnya, kaedah penyelidikan yang telah kami gunakan dalam projek ini termasuklah merujuk kepada buku-buku rujukan di perpustakaan dan melayari internet. Kajian melalui pengagihan borang soal selidik juga dilaksanakan bagi mengetahui adat dan pearayaan kaum Sikh. Dapatan kajian yang diperoleh termasuk mengetahui asal usul, adat resam dan pantang larang kaum Sikh dan masyarakat Malaysia lebih memahami adat dan perayaan yang diamalkan oleh kaum Sikh. Selain itu, dapatan kaijian yang diperoleh adalah mengetahui masalah-masalah utama yang dihadapi oleh kaum Sikh semasa meraikan sambutan perayaan dan kekurangan penglibatan masyarakat Malaysia dalam perayaan kaum Sikh.
Akhir kata, kepentingan dan sumbangan yang telah dicapai termasuklah kita dapat meningkatkan kesedaran kaum-kaum yang lain terhadap adat dan perayaan yang disambut oleh kaum Sikh dan seterusnya keadaan masyarakat yang aman dan damai membolehkan aktiviti harian kaum masing-masing berjalan dengan lancar. Di samping itu, kajian ini juga penting untuk memberi peluang kepada kaum lain seperti kaum Melayu, kaum Cina dan kaum India supaya lebih mengetahui adat dan perayaan kaum Sikh yang terdapat di Negara kita dan kajian ini juga dapat memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat.
SENARAI JADUAL, RAJAH DAN GAMBARAJAH
Rajah 4.1 : Demografi Responden Rajah 4.2 : Demografi Kaum
Rajah 4.3 : Adakah anda tahu tentang adat dan perayaan kaum Sikh?
Rajah 4.4 : Adakah anda tahu tentang prinsip 5K yang diamalkan oleh kaum Sikh
Rajah 4.5 : Adakah anda tahu tentang asal usul, adat resam dan pantang larang kaum Sikh
Rajah 4.6 : Apakah yang anda tahu tentang kaum Sikh
Rajah 4.7 : Hari Vaisakhi merupakan salah satu perayaan yang disambut oleh kaum Sikh di Malaysia?
Rajah 4.8 : Apakah masalah-masalah yang dihadapi oleh kaum Sikh semasa meraikan sambutan perayaan mereka?
Rajah 4.9 : Apakah punca-punca yang menyebabkan masyarakat Malaysia kurang berminat untuk melibatkan diri dalam perayaan kaum Sikh dan semakin melupakan adat kaum Sikh?
Rajah 4.10 : Apakah cara-cara yang diambil untuk meningkatkan penglibatan masyarakat dalam perayaan kaum Sikh?
1.0 PENGENALAN
Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai jenis kaum iaitu kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain. Kaum Sikh juga merupakan sebahagian daripada kaum di Malaysia. Setiap kaum mempunyai adat resam dan perayaan masing-masing. Penempatan kaum Sikh bukan sahaja terdapat di Malaysia malahan juga terdapat di Negara-negara selatan Asian seperti Hong Kong, Burma, Indonesia, Afghanistan, Iran, Singapura dan juga boleh didapati di negara-negara timur tengah.
Sikhisme atau agama Sikh merupakan agama yang diasaskan oleh seorang Hindu yang berasal dari kaum Bedi yang bernama Guru Nanak (Sushil Mittal, 2006). Menurut lagenda Guru Nanak merupakan seseorang yang dilahirkan di keluarga Hindu, mendapat wahyu setelah mandi pagi di tahun 1499. Kaum ini mudah dikenali berdasarkan corak pemakaian dan identiti mereka. Serban dan pakaian Punjabi yang kelihatan labuh merupakan salah satu identiti pakaian kaum lelaki Sikh manakala Punjab bagi kaum wanita. Kaum ini lebih mudah dikenali dengan warna kulit mereka yang kelihatan cerah.
Kaum Sikh wajib mematuhi kepercayaan mereka berdasarkan lima “K”, iaitu kes(rambut tidak dipotong), kara(gelang besi), kanga(sikat), kilpan(pisau seperti sabit) dan kachhera(seluar pendek seperti cawat) (Berita Harian, 2010). Penganut Sikh boleh dikatakan “murtad” atau terkeluar daripada agamanya sekiranya melanggar salah satu daripada kepercayaan tersebut. Perayaan Vaisakhi yang disambut oleh kaum ini merupakan pesta menuai kuno di Punjab dan juga adalah perayaan utama dalam calendar Sikh.
Kesimpulannya, adat resam dan perayaan adalah amat penting kepada semua kaum kerana ia merupakan sebuah tradisi yang unik dan tidak terdapat dalam mana-mana budaya kaum lain. Oleh itu, budaya itu haruslah dikekalkan untuk generasi yang akan datang supaya mereka dapat mengetahui budaya yang diamalkan oleh nenek moyang mereka.
1.1 PENYATAAN MASALAH 1. Masyarakat Sikh kurang mempamerkan dan mengadaptasikan perayaan mereka kepada masyarakat.umum. Dalam konteks ini, tarian dan cara pemakaian masyarakat kaum Sikh kurang melambangkan identity sebenar mereka. 2. Kebanyakan generasi muda kaum Sikh tidak cakna dengan adat perayaan kaum mereka. Sikap mereka yang terlalu mengikut trend terkini menyebabkan mereka meminggirkan adat dan perayaan mereka. 3. Paparan mengenai adat dan perayaan kaum Sikh kurang dihebohkan oleh media massa. Peranan media massa contohnya televisyen kurang menyiarkan siaran bertemakan perayaan kaum Sikh. 4. Masyarakat lain kurang melibatkan diri dalam perayaan kaum Sikh. Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina dan India. Setiap kaum mempunyai adat dan perayaan tersendiri. Namun, masyarakat kurang melibatkan diri dalam perayaan kaum-kaum lain terutama perayaan kaum Sikh. Hal ini disebabkan arus pemodenan kini menjadikan masyarakat lebih tertumpu terhadap kehidupan harian mereka. Mereka kurang didedahkan kepada perayaan yang diraikan oleh kaum Sikh. 5. Masyarakat lain menghadapi halangan dalam melibatkan diri dalam perayaan kaum Sikh. Halangan daripada ibu bapa merupakan salah satu faktor yang menyebabkan golongan ini tidak mampu untuk melibatkan diri dalam perayaan kaum Sikh.
1.2 OBJEKTIF KAJIAN
1. Mengkaji asal usul, adat resam, dan pantang larang kaum Sikh. Kajian ini dijalankan untuk mengkaji dengan lebih mendalam tentang kaum Sikh di Malaysia. Bilangan kaum yang kecil menyebabkan adat dan budaya kaum Sikh kurang dikenali masyarakat.
2. Mengkaji adat perayaan yang diamalkan oleh kaum Sikh. Kaum Sikh menyambut perayaan yang dikenali sebagai Hari Vaisakhi. Perayaan ini disambut dengan mengamalkan adat dan peraturan yang telah digunakan sejak turun temurun kaum mereka seperti makanan, pakaian, dan pantang larang.
3. Mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi oleh kaum Sikh semasa meraikan perayaan mereka. Perubahan dan pembangunan negara kini telah menimbulkan pelbagai masalah kepada kaum Sikh dalam meraikan perayaan mereka. Pelbagai masalah dihadapi dalam melancarkan persiapan dan sambutan perayaan kaum Sikh.
4. Mengenal pasti punca-punca kekurangan penglibatan masyarakat Malaysia dalam perayaan kaum Sikh. Setiap perayaan di Malaysia kini kurang mendapat penglibatan dari kaum lain yang berbeza bangsa terutama perayaan kaum Sikh. Hal ini disebabkan beberapa punca yang telah mempengaruhi penglibatan masyarakat dalam perayaan kaum Sikh
5. Mengenal pasti cara-cara meningkatkan penglibatan masyarakat lain dalam perayaan kaum Sikh. Penglibatan kaum lain dalam perayaan kaum Sikh perlu ditingkat agar budaya masyarakat majmuk tidak lupus ditelan zaman. Beberapa cara perlu dilaksanakan agar penglibatan masyarakat dalam perayaan kaum lain terus diamalkan di Malaysia.
1.3 PERSOALAN KAJIAN
Beberapa persoalan kajian yang telah dicetuskan untuk kajian ini, iaitu:
1. Apakah adat resam dan pantang larang kaum Sikh di Malaysia?
2. Apakah adat dan perayaan yang diamalkan oleh kaum Sikh? 3. Apakah masalah-masalah yang dihadapi oleh kaum Sikh semasa meraikan sambutan perayaan mereka? 4. Mengapakah masyarakat Malaysia kurang melibatkan diri dalam perayaan kaum Sikh? 5. Apakah langkah-langkah yang boleh digunakan untuk meningkatkan penglibatan masyarakat lain dalam perayaan kaum Sikh?
1.4 KEPENTINGAN KAJIAN DAN SUMBANGAN HASIL KAJIAN Kajian ini sememangnya membawa beberapa kepentingan kepada kita agar kita dapat meningkatkan kesedaran kaum-kaum yang lain terhadap adat dan perayaan yang disambut oleh kaum Sikh. Keadaan masyarakat yang aman dan damai membolehkan aktiviti harian kaum masing-masing berjalan dengan lancar. Sebagai contoh masyarakat pelbagai kaum boleh menjalankan aktiviti keagamaan dengan bebas dan lancar tanpa batasan. Hasil kajian ini juga dapat memberi peluang kepada kaum lain seperti kaum Melayu, kaum Cina dan kaum India supaya lebih mengetahui adat dan perayaan kaum Sikh yang terdapat di Malaysia. Ini dapat memupuk nilai hormat-menghormati antara kaum-kaum yang terdapat di Malaysia. Selain itu, kajian ini juga dapat memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang diperkayakan dengan pelbagai budaya dan adat istiadat. Oleh itu, perselisihan faham dan pertelingkahan antara kaum dapat dikurangkan apabila adat istidat dan budaya masing-masing telah diberikan pendedahan. Sifat bertolak ansur yang diamalkan oleh pelbagai kaum menunjukkan mereka bersedia menerima bangsa dan budaya yang lain sebagai satu budaya yang sama, iaitu budaya Malaysia. Berdasarkan kefahaman adat sesuatu kaum terhadap kaum yang lain telah memperlihatkan keharmonian hubungan etnik sentiasa terjalin kukuh dalam kalangan rakyat dan saling menghormati budaya masing-masing.
Sumbangan hasil kajian ini adalah menjadi satu panduan dan rujukan kepada generasi baru khususnya kaum Sikh yang terdapat di Malaysia. Adat istiadat dan perayaan yang disambutkan merupakan sesuatu adat yang dibawa secara turun- temurun oleh nenek moyang mereka sejak awal lagi. Oleh itu, generasi yang baru seharusnya diberikan amanah untuk mengekalkan tradisi ini supaya tradisi ini tidak akan dilupakan oleh generasi akan datang. Hal ini menyebabkan masyarakat moden akan lebih menghargai dan memannfaatkan budaya serta tradisi masing-masing. Selain itu, kajian ini turut memberi banyak pengetahuan dan pendedahan tentang adat dan budaya kepada generasi baru mengenai adat dan perayaan yang disambutkan oleh kaum Sikh berpandukan kajian yang telah dijalankan.
2.0 SOROTAN LITERATUR
Tajuk Buku : Perayaan Utama Di Malaysia - Kaum Sikh
Penulis : Banerjee, Anil Chandra Perayaan utama dan hari yang dimuliakan oleh penganut Sikh ialah Hari Bersakhi Mela, iaitu perayaan yang disambut pada 13 April setiap tahun. Hari ini juga menandakan bermulanya tahun baru masyarakat Sikh. Hari Bersakhi Mela dianggap istimewa dan perlu dirayakan oleh penganut Sikh pada tiap-tiap tahun. Ianya juga bertujuan untuk mengingati jasa guru yang kesepuluh, iaitu Guru Gobind Singh yang banyak memberikan reformasi kepada ajaran Sikh. Selain daripada sambutan perayaan Hari Bersakhi Mela, masyarakat Sikh juga akan menyambut perayaan ulang tahun kelahiran Guru Nanak Dev pada bulan November dan perayaan ulang tahun kelahiran Guru Gobind Singh pada bulan Disember (Sikh Naujawan Sabha Malaysia 1969). Selain daripada perayaan Hari Barsakhi Mela, perayaan menyambut ulang tahun kelahiran Guru Nanak Dev dan perayaan menyambut ulang tahun Guru Gobind Singh, banyak lagi perayaan yang dirayakan oleh masyarakat Sikh, antaranya ialah perayaan Maghi disambut dalam bulan Januari, perayaan Cheharta Sahib disambut dalam bulan Januari, perayaan Hola Mohalla Mela disambut antara bulan Februari hingga Mac, perayaan Bab Bakale disambut dalam bulan Ogos, perayaan Goundwal disambut dalam bulan September dan beberapa perayaan lagi terutama perayaan menyambut kelahiran dan kematian sepuluh orang guru agama Sikh. Perayaan-perayaan penting yang disambut masyarakat Sikh dilakukan di gurdwara. Semua penganut Sikh tidak kira di mana berada akan datang ke gurdwara yang berhampiran tempat tinggal masing-masing sejak awal pagi lagi untuk sambutan perayaan.Upacara sambutan akan dimulakan dengan sembahyang dan membaca ungkapan-ungkapan dari buku suci Guru Granth Sahib Ji. Selesai bersembahyang, penganut Sikh akan menikmati jamuan dan makanan yang disediakan di gurdwara secara bergotong-royong. Setiap penganut mesti menjamah manisan atau halwa sebagai tanda kesyukuran terhadap kejayaan yang diperolehi pada tahun tersebut (Sikh Naujawan Sabha Malaysia 1969). Walaupun secara teorinya agama Sikh mempunyai doktrin monoteisme tetapi tidak juga dipraktiskan secara nyata dalam sambutan perayaan penting penganut-penganut agama tersebut. Kebanyakan tujuan sambutan perayaan agama yang dilakukan adalah kerana sebab-sebab yang lain daripada konsep-konsep monoteisme seperti bersyukur kepada tuhan, memuji-muji tuhan dan perkara-perkara yang ada kaitan dengan ketuhanan. Tujuan perayaan penting di dalam agama Sikh adalah mengingati dari sudut sejarah pertumbuhan dan perkembangan ajaran ini dan yang mempunyai kaitan dengan ajaran agama tersebut seperti mengingati guru-guru agama, memperingati hari kemenangan, memperingati kitab suci dan lain-lain lagi.
(Rujukan : Banerjee, Anil Chandra, Perayaan Utama Di Malaysia-Kaum Sikh, Munshiram Manoharlal Publishers Ltd.)
3.0 METODOLOGI 1. Perpustakaan Bagi melengkapkan lagi kajian, kaedah rujukan telah digunakan. Kami telah membuat kajian dengan menggunakan internet. Kami juga telah merujuk kajian-kajian yang telah dijalankan oleh pelajar universiti untuk memudahkan lagi kerja pengkaji. Buku-buku pelajaran juga telah dijadikan rujukan tambahan untuk melengkapkan lagi hasil kajian ini.
2. Soal Selidik Soal selidik merupakan satu set soalan bercetak yang digunakan untuk mengutip atau memperoleh data secara laporan kendiri daripada responden. Data yang diperolah melalui borang soal selidik biasanya mengandungi antaranya latar belakang responden, fakta pengetahuan, pendapat dan pandangan. Kami akan mengedarkan borang soal selidik yang berkaitan dengan adat dan perayaan kaum Sikh kepada warga USM untuk mendapatkan pendapat mereka.
3. Internet Kami telah menggunakan internet untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan kajian ini. Kebanyakan hasil kajian dapat disempurnakan dengan menggunakan kaedah ini. Kami dapat menganalisis kajian ini dengan lebih mendalam melalui data atau maklumat yang diperoleh dari sumber internet ini. Oleh itu, hasil kajian kami yan berkaitan dengan masalah generasi kini yang tidak mengendahkan adat dan perayaan kaum Sikh dapat diperkukuhkan lagi.
4.0 KEPUTUSAN DAN PERBINCANGAN
Bahagian ini menerangkan keputusan analisis data berdasarkan tindak balas responden terhadap soal selidik yang dijalankan tentang adat dan perayaan kaum Sikh.
4.1 Demografi responden
Rajah 1 Responden kajian ini adalah seramai 100 orang yang terdiri daripada lelaki dan perempuan. Rajah 1 menunjukkan responden lelaki seramai 44 orang bersamaan 44% dan responden perempuan seramai 56 orang bersamaan 56%.Mereka telah dijadikan sebagai sampel kajian dalam mengkaji tentang adat dan perayaan kaum Sikh.
4.2 Demografi kaum
Rajah 2 Rajah 2 menunjukkan jumlah responden yang telah dikelaskan mengikut kaum dalam kajian ini. Seramai 33 orang kaum Melayu (33%), 42 orang kaum Cina (42%) dan 9 orang kaum India (9%) yang terdiri daripada kaum majoriti. Kaum Sikh seramai 11 orang bersamaan 11% manakala lain-lain kaum seramai 5 orang bersamaan (5%). Penglibatan kaum yang berbeza dalam kajian dapat memberi penjelasan tentang pengetahuan mereka dalam perayaan kaum-kaum lain yang berbeza di Malaysia.
4.3 Adakah anda tahu tentang asal usul, adat resam dan pantang larang kaum Sikh?
Rajah 3 Rajah 3 menunjukkan pengetahuan responden tentang asal usul, adat resam dan pantang larang yg diamalkan oleh kaum Sikh. Hasil menunjukkan masih ramai yang tidak mengetahui tentang asal usul, adat resam dan pantang larang kaum Sikh. Hal ini dapat dilihat apabila sebanyak 76% daripada 100 responden menjawab tidak mengetahui dan baki 26% mengetahui tentang adat-adat yang diamalkan oleh kaum Sikh. Hasil soal selidik ini menunjukkan bahawa kebanyakan responden tidak didedahkan dengan pengetahuan mengenai adat-adat kaum Sikh. Peredaran masa yang semakin moden juga menyebabkan generasi kini tidak mengambil tahu dan alpa dengan adat-adat kaum lain.
4.4 Adakah anda tahu tentang prinsip 5K yang diamalkan oleh kaum Sikh?
Rajah 4 Rajah 4 menunjukkan pengetahuan responden tentang prinsip 5K iaitu Kes (rambut tidak dipotong), Kara (gelang besi). Karga (sikat), Kilpan (pisau seperti sabit) dan Kachhera (seluar pendek seperti cawat). Seramai 79 orang (79%) telah memberi maklum balas tidak manakala seramai 21 orang (21%) telah memberi maklum balas ya. Hal ini disebabkan masyarakat tidak didedahkan tentang adat dan perayaan kaum Sikh . Dengan perubahan ekonomi ramai masyarakat kurang memberi perhatian terhadap budaya kaum terutama kaum Sikh yang merupakan kaum minoriti.
4.5 Apakah adat-adat yang anda tahu tentang kaum Sikh?
Rajah 5 Berdasarkan rajah 5, sebanyak 76% responden berpendapat mereka tidak tahu apa-apa adat kaum Sikh. Kebanyakan responden mengetahui tentang adat perkahwinan yang diamalkan oleh kaum Sikh iaitu sebanyak 13%. Apabila mereka sering menghadiri majlis perkahwinan orang Sikh, maka mereka telah mengetahui sedikit sebanyak tentang adat perkahwinan yang diamalkan oleh kaum Sikh. Terdapat beberapa upacara yang perlu dilakukan sebelum dan selepas istiadat perkahwinan dilangsungkan. Dalam bangsa Sikh, tidak diwajibkan untuk melakukan mangani(pertungangan). Mayian adalah majlis dimana pengantin perempuan akan ditemani ahli keluarganya. Pengantin akan duduk dibangku yang dipanggil “phati” dan sehelai sari “chadar” diapungkan di atas kepalanya. Ibu pengantin perempuan akan meletakkan duit syiling dibawah tapak kaki pengantin dan seterusnya melangkah “phati” selepas upacara mayian selesai. Tujuannya adalah untuk menolak bala dan segala kekotoran yang ada pada pengantin.
Sebanyak 6% responden mengetahui tentang adat kematian yang diamalkan oleh kaum Sikh. Hal ini terjadi apabila mereka sering melihat upacara kematian yang diamalkan oleh jiran dan orang sekeliling mereka. Bangsa Sikh menguruskan mayat dengan membakar mayat. Lelaki akan dipakaikan dengan pakaian putih dan serban manakala perempuan dipakaikan baju pengantin dan disolek dengan cantik untuk menghadap Tuhan. Abu mayat dibenarkan ambil keesokan harinya dan diletakkan dalam bekas tanah liat yang dibalut dengan kain merah untuk dilepaskan ke laut. Pada hari abu dilepaskan, mereka tidak dibenarkan menyalakan api. Hari ke 10 atau 14 akan diadakan kenduri dan bacaan doa untuk si mati sepanjang kenduri diadakan. Baki sebanyak 5% responden pula mengetahui tentang adat kelahiran yang diamalkan oleh kaum Sikh. Bayi sulung akan dijaga oleh nenek dan datuk mereka selama 40 hari. Ibu bayi tidak dibenarkan minum minuman sejuk kerana memudaratkan kesihatan. Setelah sebulan dijaga oleh nenek dan datuk bayi tersebut, mereka akan memanggil seorang paderi untuk memandikan bayi menggunakan air suci untuk menghindari atau membuang roh jahat yang ada dalam badan bayi. Nama bayi diberi berdasarkan pembukaan kitab suci Sikh.
4.6 Adakah anda tahu tentang adat dan perayaan kaum Sikh?
Rajah 6 Rajah 6 menunjukkan pengetahuan responden mengenai adat dan perayaan kaum Sikh. Berdasarkan carta pai di atas seramai 66 orang bersamaan 66% tidak mengetahui tentang adat dan perayaan kaum Sikh manakala seramai 34 orang bersamaan 34% mengetahui adat dan perayaan kaum Sikh. Peratusan ini membuktikan masyarakat kurang pengetahuan tentang kaum Sikh yang terdapat di Malaysia.Masyarakat kurang memberi perhatian terhadap budaya kaum lain menyebabkan pengetahuan mereka kurang tentang kaum Sikh.
4.7 Hari Vaisakhi merupakan salah satu perayaan yang disambut oleh kaum Sikh di Malaysia?
Rajah 7 Rajah 7 menunjukkan adakah responden mengetahui bahawa Hari Vaisakhi merupakan salah satu perayaan yang disambut oleh kaum Sikh di Malaysia. Hasil soal selidik menunjukkan kebanyakkan responden mengetahui tentang Hari Vaisakhi iaitu sebanyak 71% responden menjawab ya. Pendedahan tentang sambutan Hari Vaisakhi di media massa dan sosial menyebabkan ramai yang mengetahui cara sambutannya. Baki sebanyak 29% menjawab tidak mengetahui tentang Hari Vaisakhi. Golongan ini tidak mengambil tahu tentang perayaan ini kerana sikap alpa dan tidak mahu mengambil tahu tentang adat dan perayaan kaum lain.
4.8 Apakah punca-punca masyarakat Malaysia kurang berminat untuk melibatkan diri dalam perayaan kaum Sikh dan semakin melupakan adat kaum Sikh?
Rajah 8 Berdasarkan rajah 8 menunjukkan punca-punca yang menyebabkan masyarakat Malaysia kurang berminat untuk melibatkan diri dalam perayaan kaum Sikh dan semakin melupakan adat kaum Sikh. Kekurangan pendedahan kepada adat-adat dan kebudayaan akan menjadi penghalang kepada pembinaan hubungan etnik antara kaum. Punca yang mendapat peratusan tertinggi iaitu kurang pendedahan merupakan punca utama menyebabkan masyarakat Malaysia kurang berminat untuk melibatkan diri dalam perayaan kaum Sikh. Terdapat 19% monoriti yang menyatakan sikap masyarakat yang dingin merupakan punca masyarakat Malaysia kurang berminat dan melibatkan diri dalam sambutan perayaan kaum Sikh. Hal ini sedemikian disebabkan Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum iaitu bangsa Melayu, Cina dan India. Kepelbagaian kaum dan etnik inilah maka wujudnya kepelbagaian budaya, bahasa, adat resam dan agama. Ketiga-tiga kaum ini mempunyai perayaan tersendiri disambutkan pada setiap tahun.
4.9 Apakah masalah-masalah yang dihadapi oleh kaum Sikh semasa meraikan sambutan perayaan mereka?
Rajah 9
Berdasarkan rajah 9 menunjukkan masalah-masalah yang dihadapi oleh kaum Sikh semasa meraikan sambutan perayaan mereka. Terdapat 54.6% responden berpendapat bahawa tidak ada cuti pelepasan am merupakan masalah utama yang dihadapi oleh kaum Sikh semasa meraikan sambutan perayaan mereka. Hal ini disebabkan kerajaan tidak mengistiharkan cuti pelepasan am bagi kaum Sikh dan menyebabkan mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk membuat persediaan serta terdapat segelintir individu yang masih perlu bekerja pada hari tersebut.
Di samping itu, terdapat 23.7% respoden menyatakan bahawa kaum Sikh yang tidak tahu cara sambutan perayaan merupakan salah satu masalah yang dihadapi oleh mereka. Cara sambutan perayaan yang rumit serta diwarisi oleh golongan tua semakin dilupakan oleh golongan muda hari ini. Contohnya, para penganut perlu berkumpul di tempat ibadah Sikh dengan membawa bunga sebelum subuh. Ini merupakan salah satu contoh yang tidak diketahui orang ramai.
4.10 Apakah cara-cara yang dapat diambil untuk meningkatkan penglibatan masyarakat dalam perayaan kaum Sikh? Rajah 10 Berdasarkan rajah 10 menunjukkan bahawa kebanyakan responden bersetuju media massa merupakan cara yang efektif untuk meningkatkan penglibatan masyarakat dalam perayaan kaum Sikh. Media massa didefinisikan sebagai alat yang digunakan dalam penyampaian pesan-pesan dari sumber kepada khalayak dengan menggunakan alat-alat komunikasi mekanis seperti surat khabar, film, radio, TV (Cangara,2002) Media massa merupakan satu hab yang mempunyai kemampuan untuk memberikan informasi dengan cepat dan efektif. Terdapat 25% responden berpendapat bahawa kempen kesedaran juga merupakan salah satu langkah untuk meningkatkan penglibatan masyarakat dalam perayaan kaum Sikh. Kerajaan atau NGO boleh mengambil inisiatif untuk mengadakan kempen berkenaan kebudayaan di Malaysia agar rakyat Malaysia sedar dengan pelbagai hubungan etnik yang terdapat di Malaysia. Terdapat juga responden yang berpendapat bahawa pendidikan dan pendedahan daripada generasi tua juga merupakan alternatif lain untuk meningkatkan penglibatan masyarakat dalam perayaan kaum Sikh di Malaysia.
6.0 KESIMPULAN Kaum Sikh merupakan sebahagian daripada kaum di Malaysia. Mereka mempunyai identiti istimewa sendiri. Kajian ini bertujuan untuk mengkaji adat dan perayaan kaum Sikh. Oleh itu, para penyelidik telah mengemukakan data bagi memenuhi objektif kajian seperti mengkaji asal usul, adat resam, pantang larang dan adat perayaan kaum Sikh dan mengenal pasti masalah dihadapi, punca kekurangan penglibatan dan cara peningkatan penglibatan masyarakat dalam perayaan kaum Sikh. Berdasarkan kajian yang dijalankan, hampir lapan puluh peratus responden berpendapat mereka tidak mengetahui adat dan perayaan kaum Sikh seperti adat-adat perkahwinan, kelahiran dan kematian, dan perayaan Vaisakhi. Hal ini menunjukkan adat dan perayaan kaum Sikh semakin dilupakan oleh masyarakat kini. Antara punca-punca masyarakat semakin melupakan adat dan perayaan kaum Sikh yang dikaji, punca yang mendapat peratusan tertinggi iaitu kurang pendedahan. Selain itu, responden bersetuju tidak ada cuti pelepasan am merupakan masalah utama yang dihadapi oleh kaum Sikh semasa meraikan sambutan perayaan mereka. Berdasarkan kajian juga, kebanyakan responden berpendapat media massa merupakan cara yang paling efektif daripada cara-cara lain untuk meningkatkan penglibatan masyarakat dalam perayaan kaum Sikh. Semasa menjalankan kajian ini, para penyelidik telah berganding bahu untuk mencari maklumat tentang kaum Sikh supaya menghasilkan tugasan yang terbaik tanpa mengira kaum. Kajian ini telah meningkatkan kesedaran dan pengetahuan para penyelidik tentang adat dan perayaan kaum Sikh. Oleh itu, sebagai warga Malaysia, kita perlu saling memahami budaya dan tradisi kaum lain untuk mengeratkan keharmonian dan kefahaman pelbagai kaum dan hidup dalam negara yang damai. 6.0 RUJUKAN
1. INTERNET http://babab.net/artikel/perayaan-masyarakat-Sikh.html http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0423&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_02.htm
2. SUMBER PERPUSTAKAAN
W. Owen Cole and Sambhi, P. S. (1978); The Sikhs-Their religious beliefs and practices.
Shushil Mittal, Gene Thursby (2006); Relegions of South Asia, New York.
Theodore M. Ludwig (2001); The Sacred Paths of The East; Prentice Hall.